Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa. Foto: Bernama.

KKM gariskan empat strategi tingkatkan kesiapsiagaan hadapi situasi COVID-19

ByIqmal Firdaus

KUCHING, 30 Dis: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggariskan empat strategi utama bagi meningkatkan kesiapsiagaan negara susulan situasi semasa dan perubahan polisi pengurusan COVID-19 di China, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Di bawah strategi memperkukuhkan survelan COVID-19 dalam komuniti, persekitaran dan makmal, semua pengembara yang tiba dari luar negara termasuk China di pintu masuk antarabangsa (PMA) perlu melalui saringan demam.

“Sampel air kumbahan akan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) untuk ujian PCR dan seterusnya dihantar untuk penjujukan genom sekiranya dikesan positif COVID-19,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Bagi memperkukuhkan survelan COVID-19 dalam komuniti, persekitaran dan makmal, ujian lanjut ke atas sampel positif COVID-19 menggunakan teknik Whole Genomic Sequencing (WGS) dilaksanakan bagi mengesan awal kemasukan varian baharu dalam negara.

Survelan ke atas sampel bagi kes influenza-like illness (ILI) di 59 klinik sentinel dan severe acute respiratory infection (SARI) di 18 buah hospital sentinel di seluruh negara masih diteruskan.

Sampel ILI dihantar ke Makmal Kesihatan Awam seluruh negara, manakala sampel SARI dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk ujian PCR dan seterusnya dijalankan penjujukan genom sekiranya positif COVID-19.

Bagi mempertingkatkan pengesanan sebarang varian baharu juga, semua kes ILI dan SARI yang datang mendapatkan perkhidmatan di fasiliti kesihatan dan mempunyai sejarah perjalanan ke China dalam tempoh 14 hari terakhir, atau mempunyai sejarah kontak dengan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke China dalam tempoh 14 hari terakhir akan dibuat ujian RTK-Ag COVID-19 dan seterusnya dihantar untuk penjujukan genom sekiranya positif COVID-19.

China mengumumkan kelonggaran pengurusan COVID-19 pada 8 Jan dan Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC) memaklumkan Beijing tidak akan mengenakan kuarantin ke atas mereka yang memasuki negara itu.

Keputusan berkenaan dibuat ketika China berdepan peningkatan jangkitan yang membimbangkan, sementara jumlah kematian dilaporkan turut meningkat.

Strategi seterusnya ialah dengan melindungi komuniti melalui pemberian vaksin termasuk kumpulan rentan dan berisiko tinggi.

Dr Zaliha berkata KKM menawarkan pemberian vaksin secara walk-in di Klinik Kesihatan dan hospital KKM bermula 9 Januari 2023 kepada kes dengan komorbiditi termasuk penyakit kronik, warga emas berumur 60 tahun dan ke atas dan individu berisiko mendapat gejala teruk dan komplikasi jangkitan COVID-19.

Sehingga 28 Disember 2022, seramai 27,531,220 orang (84.3%) dari penduduk Malaysia telah mendapat vaksinasi dos primer yang lengkap. Bagaimanapun, hanya seramai 16,278,036 orang (49.8%) menerima dos penggalak pertama dan 626,896 orang (1.9%) bagi dos penggalak kedua.

“Perlindungan yang diberikan oleh vaksin COVID-19 ini akan berkurangan selepas tempoh masa tertentu dan bergantung kepada jenis varian pada masa tersebut,” katanya.

KKM turut melaksanakan inisiatif memberikan rawatan ubat antiviral Paxlovid kepada pesakit yang layak.

Strategi seterusnya ialah mempertingkatkan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan awam dan respon sistem.

“KKM sentiasa mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respon sistem perkhidmatan kesihatan awam bagi menghadapi kemungkinan peningkatan kes COVID-19 di Malaysia,” ujarnya.

Memperkasakan komuniti melalui penglibatan dan advokasi berterusan merupakan strategi keempat.

“Aktiviti advokasi dan komunikasi risiko berkaitan penyakit COVID-19 termasuk vaksinasi dan rawatan dipertingkatkan kepada semua peringkat lapisan masyarakat.

“Bahan advokasi dan pendidikan kesihatan boleh diperolehi daripada laman sesawang KKM serta kenyataan akhbar KKM yang akan dikeluarkan dari semasa ke semasa,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan