KUCHING, 30 Dis: Karnival Pesta Makanan bertempat di Mydin Vista Tunku diadakan sejak 16 Disember lalu mendapat sambutan luar jangka serta maklum balas positif daripada peniaga mahupun orang ramai yang berkunjung ke tapak pesta makanan itu.
Pengurus Karnival Pesta Makanan juga merangkap Pengerusi Kelab Belia Wawasan Bandar Kuching, Zambia Mozambique berkata penganjuran program itu bertujuan untuk membuka peluang kepada peniaga kecil untuk kembali bergiat aktif.
“Sambutan karnival ini memang sangat luar biasa memandangkan selain membantu peniaga yang berminat untuk berniaga di pesta makanan ia turut menawarkan harga berpatutan kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui TVS di Karnival Pesta Makanan, semalam.
Sementara, salah seorang peniaga di Karnival Pesta Makanan itu, Hasmah Otham menzahirkan rasa syukur kerana diberi peluang untuk menyertai program seperti ini yang menjadi platformnya untuk menambah pendapatan.
“Karnival ini bagus untuk peniaga kecil seperti saya yang mempunyai gerai kecil-kecilan. Sebelum ini, saya berjual di tepi jalan dan apabila mendengar karnival ini saya terus menyertainya. Pendapatan saya bertambah dan saya berharap karnival seperti ini akan berterusan,” katanya.
Pendapat serupa bagi peniaga, Nazri Haili kerana pesta itu merupakan batu loncatan bagi para peniaga kecil seperti mereka untuk memperkenalkan produk-produk baharu kepada orang ramai.
“Karnival ini dapat membantu peniaga yang belum mempunyai tempat untuk berjual dan ia juga membantu saya mempromosikan produk jualan saya. Saya berharap tahun baru ini lebih banyak karnival yang akan diadakan lagi bagi membantu memperkenalkan nama peniaga serta produknya,” katanya.
Turut memberi pandangan positif, salah seorang pengunjung yang ditemui, Selmah Jeman menyambut baik penganjuran pesta makanan itu dan berharap ia akan dianjurkan sekali lagi.
“Saya sudah tiga kali pergi ke karnival ini. Hari pertama saya pergi, hujan lebat dan saya tidak sempat untuk mengunjungi semua gerai makanan dan hari kedua saya pergi pada waktu petang. Hari ini adalah hari ketiga saya pergi ke sini. Saya rasa karnival ini menyenangkan orang yang bekerja dan cadangan saya perlu mempelbagaikan lagi makanan agar lebih menarik seperti makanan yang susah untuk diperoleh,” katanya.
Julung kali diadakan, karnival anjuran Kelab Belia Wawasan Bandar Kuching itu menghimpunkan sebanyak 126 buah gerai yang menghidangkan pelbagai jenis makanan, minuman dan pakaian bermula pada jam 4 petang hingga 12 malam dan akan berakhir pada 31 Disember ini.
Selain itu, karnival berkenaan turut disediakan ‘Fun Fair’ untuk kanak-kanak.-TVS