Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Bank Negara Malaysia. Foto Bernama.

Inflasi keseluruhan kekal stabil 4.0 peratus pada November 2022 – BNM

ByBernama

KUALA LUMPUR, 30 Dis: Inflasi keseluruhan kekal stabil pada 4.0 peratus pada bulan November, sama seperti Oktober 2022, apabila peningkatan inflasi teras diimbangi oleh inflasi yang lebih rendah dalam kategori lain, iaitu bahan api dan makanan segar, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat itu berkata inflasi teras meningkat sedikit kepada 4.2 peratus pada bulan itu daripada 4.1 peratus yang dicatatkan pada Oktober, terutamanya disebabkan oleh peningkatan harga makanan di luar rumah.

“Indeks Pengeluaran Perindustrian perkilangan berkembang sebanyak 4.2 peratus pada Oktober 2022 dengan pertumbuhan didorong terutamanya oleh kelompok elektrik dan elektronik (E&E) yang mencatatkan pertumbuhan melebihi purata pada 8.7 peratus.

“Kelompok utama, terutamanya pengeluaran produk petroleum bertapis, juga menyokong pertumbuhan apabila operasi di loji penapisan minyak sedia ada disambung semula selepas diselenggara,” kata bank pusat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, BNM berkata pembiayaan bersih menjadi sederhana apabila pembayaran balik mengatasi pengeluaran, dengan pembiayaan bersih meningkat sebanyak 4.7 peratus pada akhir November (Oktober: 5.7 peratus), mencerminkan pertumbuhan yang lebih rendah dalam kedua-dua pinjaman terkumpul (November: 5.5 peratus; Oktober: 6.5 peratus) dan bon korporat (November: 2.6 peratus; Oktober: 3.6 peratus).

Pertumbuhan pinjaman isi rumah menjadi sederhana kepada 6.0 peratus (Oktober: 6.3 peratus) apabila pertumbuhan pembayaran balik pinjaman mengatasi pengeluaran pinjaman merentas tujuan pinjaman utama.

Pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul menjadi sederhana kepada 3.4 peratus (Oktober: 5.2 peratus), terutamanya disebabkan pertumbuhan kukuh pembayaran balik dalam kalangan syarikat besar.

Pengeluaran pinjaman terus mencatat pertumbuhan dua angka (November: 13.7 peratus; Oktober: 13.4 peratus), walaupun terdapat pertumbuhan agak sederhana dalam sektor perkilangan pengguna dan hartanah.

Bank pusat itu menekankan bahawa keadaan kewangan domestik menjadi reda di tengah-tengah sentimen pelabur yang bertambah baik, manakala keadaan kewangan global juga reda berikutan jangkaan kadar pengetatan dasar monetari yang lebih perlahan apabila inflasi terus menunjukkan tanda-tanda memuncak, terutamanya di Amerika Syarikat (AS).

“Pelonggaran sekatan COVID-19 di China juga menyokong sentimen risiko pelabur secara keseluruhan.

“Kesannya, keadaan kewangan domestik menjadi reda, dengan kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun berkurang sebanyak 26.0 mata asas (purata serantau*: -44.4 mata asas) dan FBM KLCI meningkat sebanyak 1.9 peratus (purata serantau*: +5.2 peratus),” katanya.

Ia berkata prestasi pasaran kewangan juga disokong oleh keadaan politik yang semakin stabil berikutan pembentukan Kerajaan baharu.

Mengenai ringgit, bank pusat itu berkata mata wang tempatan itu menambah nilai sebanyak 6.3 peratus berbanding dengan dolar AS, sejajar dengan penambahan nilai secara meluas dalam mata wang utama dan serantau* (purata: +4.5 peratus) berbanding dengan dolar AS.

“Sistem perbankan terus mengekalkan Nisbah Perlindungan Mudah Tunai yang kukuh dan bank-bank menguruskan penampan secara proaktif bagi menangani ketidaktentuan bermusim mudah tunai sistem perbankan dan terus menyokong pengantaraan,” katanya.

Bank pusat itu berkata nisbah pinjaman kepada dana agregat sebahagian besarnya kekal stabil pada 82.3 peratus (Oktober: 82.0 peratus).

Ia menyatakan bahawa kualiti aset dalam sistem perbankan kekal utuh dan nisbah keseluruhan pinjaman terjejas kasar dan bersih kekal tidak berubah, masing-masing pada 1.8 peratus dan 1.1 peratus.

“Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab kawal selia) terus merekodkan paras berhemat sebanyak 116.5 peratus daripada pinjaman terjejas, dengan jumlah peruntukan mencakupi 1.8 peratus daripada jumlah pinjaman,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan