KUCHING, 29 Dis: Undang-undang yang lebih kukuh diperlukan bukan sahaja untuk mengekang kes-kes berkaitan penderaan kanak-kanak tetapi juga bagi menjaga kebajikan golongan bawah umur itu selepas diserahkan untuk jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, undang-undang itu penting bagi membolehkan tindakan berkaitan termasuk kaedah penyelesaian dan pencegahan kes-kes penderaan, jagaan dan pengurusan penempatan kanak-kanak yang telah melepasi usia 18 tahun.
Katanya, ketika ini kanak-kanak diserahkan atau diletakkan di bawah jagaan JKM selepas keputusan dibuat oleh pihak tertentu termasuk mahkamah.
“Kita ada rumah akhlak atau penjagaan, perlindungan dan Sekolah Tunas Bakti,” katanya ketika ditemui semasa lawatan ke premis Mamacare di Pusat Transfromasi Bandar (UTC) di sini, hari ini.
Bagaimanapun, tanggungjawab tersebut katanya akan terhenti apabila kanak-kanak terbabit mencapai usia 18 tahun.
“Kita kena bertindak cepat sebab selepas mereka berusia 18 tahun dan ke atas, di mana kita hendak letakkan mereka,” soalnya. – TVS