MUKAH, 29 Dis: Seramai 32 orang penghuni hilang tempat berteduh setelah kuaters yang menempatkan pekerja kilang pemprosesan bahan sagu musnah di Jalan Kampung Sau di sini petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kes pada jam 4.34 petang tadi.
“Kejadian membabit 20 unit pintu rumah dua tingkat jenis tidak kekal berstrukur dinding zink yang berkeluasan 10 kali 20 kaki persegi telah didapati terbakar 100 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, usaha beberapa penghuni memadamkan api menggunakan dua unit alat pemadam api jenis debu kering gagal kerana keadaan api marak dengan begitu pantas.
“Anggota bomba dari Balai Bomba dan Pemyelamat (BBP) Mukah yang menjalankan operasi pemadaman berjaya mengawal kebakaran pada jam 5.07 petang,” katanya.
Menurutnya, pasukan pemadaman kemudian menjalankan kerja-kerja ‘overhaul’ sehingga selesai dan seterusnya operasi ditamatkan pada jam 6.10 petang.
Berdasarkan maklumat, kebanyak penghuni merupakan pekerja warga Indonesia dan insiden tersebut tidak melibatkan sebarangan kecederaan atau kehilangan jiwa.
Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan Unit Penyiasatan Kebakaran JBPM Zon 5. -TVS