Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Affendi Buang. Foto fail: Bernama

NTF dibubar, Op Benteng tamat secara rasmi pada 31 Dis ini – Affendi

ByBernama

KUALA LUMPUR, 29 Dis: Setelah lebih dua tahun berbakti dan menyumbang kejayaan dalam menjalankan kawalan sempadan negara, Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) yang melibatkan gabungan 18 agensi keselamatan dibubarkan secara rasmi mulai 31 Dis ini.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata selaras dengan itu, Op Benteng yang dilaksanakan sejak Mei 2020 hingga 26 Dis lepas bagi mengekang risiko penularan wabak COVID-19 ke negara ini menerusi pencerobohan pendatang tanpa izin, juga ditamatkan.

“Sepanjang pelaksanaan Op Benteng, NTF telah berjaya melakukan tugas dengan cemerlang dan mencapai objektif yang telah diamanahkan.

Ia dibuktikan dengan siri-siri kejayaan NTF dengan nilai rampasan RM1.1 bilion pelbagai jenis barangan seperti dadah, arak dan rokok serta 7,490 tangkapan melibatkan 1,444 orang tekong, 23,894 orang pendatang tanpa izin dan 1,377 penyeludup,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penghargaan Perkhidmatan Operasi Benteng 2020-2022 di Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan, di sini pada Rabu yang turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Hadir sama Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Mohd Daud dan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Datuk Mohd Zubil Mat Som.

Menurutnya keputusan dan pelaburan kerajaan dalam mewujudkan NTF bukan sahaja dapat mengawal kemasukan pendatang tanpa izin dan jenayah rentas sempadan, malah berjaya menggabungkan begitu banyak cabang agensi penguatkuasaan dan keselamatan dalam kerajaan.

“Ini telah mengukuhkan lagi keperluan untuk agensi kerajaan bersatu dalam konsep ‘Whole of Government’ iaitu menggembleng keseluruhan jentera kerajaan dalam mengatasi cabaran pada masa depan.

Kesepaduan ketiga-tiga komponen darat, laut dan udara di bawah NTF juga telah berjaya membuktikan kompetensi anggota keselamatan dan penguatkuasaan yang cemerlang serta keutuhan integrasi sistem komunikasi yang diamalkan di lapangan,” katanya.

Pada masa yang sama, walaupun NTF akan dibubarkan, namun agenda pemerkasaan kawalan sempadan negara akan diteruskan melalui mekanisme sedia ada di bawah kerangka Majlis Keselamatan Negara.

Menurutnya pengoperasian NTF perlu dijadikan pelan tindakan sebagai rujukan pada masa akan datang dan perlu ditambah baik bagi operasi kawalan sempadan negara.

“Saya percaya bahawa kita semua sebulat suara dalam meyakinkan pihak yang bertanggungjawab untuk mengguna pakai model NTF di samping mengambil semangat yang dibawanya dalam meneruskan agenda pemerkasaan kawalan keselamatan sempadan negara.

Ini kerana ia telah pun diuji dan dicuba untuk satu tempoh yang lama (lebih dua tahun) serta sering dikemas kini dari masa ke masa bagi memastikan ianya kekal relevan serta dapat memberikan impak yang efektif dan efisien,” katanya.

Beliau berpendapat pendekatan “Whole of Government and Whole of Society (WoGos)” yang diguna pakai selama ini merupakan formula terbaik yang boleh dijadikan rujukan penting untuk memastikan keselamatan nasional sentiasa terpelihara.

“Dokumentasi dan perekodan harus dilakukan dengan menyeluruh demi memastikan ia terpelihara dan sebaiknya turut diuar-uarkan untuk pengetahuan jabatan-jabatan kerajaan lain khususnya.

Hanya dengan cara ini, mesej keberkesanan WoGoS akan dapat dikongsi serta lebih pentingnya, jika keadaan seperti pandemik menyerang semula, negara akan lebih bersedia untuk menghadapinya,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan