KUALA LUMPUR, 29 Dis: Penggiat industri pelancongan bersiap sedia untuk menerima kedatangan pelancong dari China apabila negara itu dijangka melonggarkan dasar sifar COVID-19 tahun hadapan, kata Presiden Pelancongan Domestik Malaysia (MITA) Uzaidi Udanis.
Beliau berkata keputusan Beijing untuk memansuhkan syarat kuarantin wajib bagi ketibaan luar negara dan pembukaan semula sempadannya dijangka membawa masuk tiga juta pelancong ke Malaysia yang sekali gus akan membantu meningkatkan ekonomi.
“China amat penting kerana negara itu mempunyai jumlah (penduduk) yang ramai dan mereka pembelanja besar serta mampu untuk menyumbangkan angka yang bagus untuk ekonomi negara,” katanya pada sidang media Persediaan Industri Pelancongan Menerima Pelancong dari China dan pelancaran Piala Fish Tales 2023 – Cabaran Pro Cina Global di sini hari ini.
Dalam pada itu, Uzaidi berkata persatuan itu memberikan komitmen penuh untuk mematuhi langkah pencegahan COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan bagi mengelakkan penularan wabak itu di negara ini.
“Dalam industri ini, kita akur walaupun teruja nak bawa masuk pelancong, kita kena pastikan keselamatan diutamakan. Pihak pemain industri (pelancongan) sangat terkesan (sewaktu negara dilanda COVID-19) dulu…jadi penting untuk pihak industri jaga SOP (prosedur operasi standard),” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata sekiranya pelancong memasuki Malaysia di bawah ejen pelancongan bertauliah, langkah itu paling baik kerana akan membantu kerajaan memantau pergerakan mereka sekali gus dapat mengurangkan risiko penularan wabak dan mengatasi isu lain seperti tinggal lebih masa.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia Shahrin Mokhtar dan pengasas Siri Piala Fish Tales Kenneth Chan.
Mengenai kejohanan piala itu, Uzaidi berkata acara berkenaan akan berlangsung pada 18 hingga 22 Ogos tahun hadapan dan dianjurkan oleh MITA sebagai satu daripada usahanya untuk menarik warga China yang kaya ke Malaysia.
Uzaidi berkata selepas dua tahun berehat berikutan pandemik, kira-kira 500 peserta dari China dijangka mengambil bahagian dalam pertandingan memancing itu, sambil menyumbang kepada pelancongan berasaskan komuniti di Rompin, Pahang.
“Pasaran untuk pelancongan memancing adalah besar di China. Secara statistik, dianggarkan 120 juta kaki pancing di China dan dua peratus daripada kumpulan ini (2.4 juta) akan mengembara ke luar China sekurang-kurangnya sekali setahun untuk menjalankan aktiviti memancing mereka,” katanya.
Uzaidi berkata setiap pemancing akan membelanjakan kira-kira US$2,500 hingga US$3,000 bagi setiap perjalanan aktiviti memancing di Malaysia.
“Sejak pertandingan memancing persahabatan China-Malaysia di Langkawi diadakan buat julung kali pada 2008, adalah menjadi hasrat MITA untuk mempromosikan pelancongan memancing di Malaysia secara agresif di pasaran China,” katanya. – TVS