KUCHING, 29 Dis: Bermula dari hobi, kini Sally Yap yang mewakili Malaysia berjaya meraih tempat naib juara bagi pertandingan larian trail ‘The Asia Trail Masters’ sekali gus meletakkan namanya di tempat ketiga di peringkat Asia.
Dalam pertandingan tersebut, Yap berjaya melengkapkan larian menakluki Gunung Apo, Filipina sejauh 77 kilometer (km) dengan ketinggian 3,900 meter dalam masa 13 jam 16 minit.
Jelasnya, beliau dipilih bertanding dalam pertandingan ‘The Asia Trail Masters’ di Filipina dari acara-acara yang disertai sebelum ini.
“Perkara yang paling indah, (larian) Cameron Ultra itulah titik di mana saya dipilih. Ia berdasarkan mata bukan sahaja berdasarkan penyertaan tetapi berdasarkan prestasi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Ujarnya, beliau berkecimpung di dalam dunia Ultra – Maraton ini bermula pada Mac 2022 lepas.
Sebelum ini, Yap juga pernah memenangi beberapa acara Ultra – Maraton, antaranya Borneo Dragon Back Ultra, Borneo Ultra Trail Marathon, Hutan Ration Road Ultra Marathon, Cameron Ultra, Jagoi Heritage Ultra Trail dan The Most Beautiful Thing.
Beliau juga pernah menduduki tempat ketiga di Festival Jejak Gunung Malaysia dan kedua di Dunia Spartan dan Kejohanan Borneo Trail Classic.
Semua acara yang disertainya melibatkan jarak antara 50 km hingga 160 km. – TVS