Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Salahuddin Ayub. Foto fail: Bernama

Data komprehensif kenal pasti penerima subsidi bersasar —Salahuddin

ByBernama

JOHOR BAHRU, 28 Dis: Kerajaan akan menggunakan data komprehensif yang dihimpunkan melalui kesemua pangkalan data bagi mengenal pasti penerima subsidi bersasar membabitkan minyak petrol.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata pangkalan data itu tidak hanya daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), tetapi ia juga diperoleh daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara, Khazanah Nasional Bhd, Jabatan Perangkaan Malaysia serta kajian-kajian universiti.

Beliau berkata pusat data yang komprehensif adalah penting dan perlu dalam menjayakan mekanisme pemberian subsidi bersasar itu.

“Saya sebut dengan jelas sebelum ini bahawa, data JPJ adalah satu daripada data yang kita perlu, tetapi kita ada data dari LHDN, Khazanah, Jabatan Perangkaan Malaysia, Bank Negara dan kajian-kajian universiti.

“Kita perlu menghimpunkan kesemua data. Kementerian atau Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) harus melihat semua data itu sebelum kita membuat keputusan akhir,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Temu Rapat Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), di sini malam tadi.

Beliau mengulas mengenai pandangan pakar-pakar ekonomi bahawa pemberian subsidi menggunakan pangkalan data JPJ dengan melihat kepada kuasa kuda (cc) kenderaan adalah tidak bersesuaian.

Salahuddin baru-baru ini dilaporkan berkata pangkalan data daripada JPJ misalnya boleh digunakan untuk subsidi petrol RON95, berikutan kerajaan dapat mengenal pasti golongan yang layak menerima subsidi berdasarkan jenis cc kenderaan dimiliki.

Sementara itu, Salahuddin berkata KPDN sedang mengkaji inisiatif Nano Retailers sebagai langkah untuk membantu golongan suri rumah sepenuh masa menjana pendapatan sekali gus meningkatkan ekonomi mereka.

Beliau berkata inisiatif dengan kerjasama DPIM itu memberi peluang kepada suri rumah untuk menjual 11 barangan asas seperti gula, tepung, telur, beras, minyak masak dan barang-barang kering.

“Mereka ini, kita akan bantu dapat bekalan terus dari pengilang, jadi kita boleh selamatkan mereka dari tiga atau empat lapisan orang tengah.

“Di samping memberi pendapatan secara kecil-kecilan, golongan sasar B40 juga dapat dibantu dengan kadar harga yang murah berbanding kedai-kedai biasa,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan projek percubaan itu boleh dilaksanakan di setiap negeri dengan melibatkan beberapa kawasan sebelum diperluaskan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan