SANDAKAN, 27 Dis: Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda negara tahun ini dijangka berlaku lebih serius berbanding tahun sebelumnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata salah satu indikator penting apabila jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara meningkat 67 peratus berbanding sebelum ini.
Katanya, setakat pagi hari ini, terdapat 121,864 orang mangsa dipindahkan ke PPS walaupun baharu dalam tempoh sebulan MTL melanda negara.
“Sehubungan itu, kita ingin berpesan kepada masyarakat supaya peka dengan amaran dikeluarkan selain mematuhi arahan dan nasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) khususnya jika berlaku kejadian tidak menentu,” katanya di Kampung Forest di sini, hari ini.
Terdahulu beliau diberi taklimat oleh Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Abdul Fuad Abdul Malek berhubung fenomena air pasang besar yang berlaku pada Sabtu lepas yang menyebabkan 108 rumah roboh akibat dipukul ombak besar.
Kejadian itu telah mengakibatkan seramai 686 mangsa kehilangan tempat tinggal dan terpaksa ditempatkan di PPS, Sekolah Kebangsaan Sungai Anib 2.
Mengenai kejadian itu, Armizan berkata bantuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan disalurkan kepada mangsa terlibat dengan segera selepas mendapat laporan dan penilaian daripada JPBD berhubung keadaan dan status bencana.
Katanya, ia termasuk mempertimbang pemberian Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR), Bantuan Ihsan Kematian sebanyak RM10,000, bantuan pembaikan rumah sehingga RM5,000 dan bantuan pembelian barangan khas sebanyak RM2,500 kepada mangsa yang dikenal pasti.
“Sekarang usaha yang paling penting adalah memindahkan mangsa ke PPS, membuat pemantauan serta menjaga kebajikan mereka.
“Mungkin tempat lain berbeza keperluan. Di Kampung Forest ini penduduk kehilangan tempat tinggal. Oleh itu, kita perlu lihat tempoh untuk mereka dibenarkan berada di PPS memandangkan perkampungan itu masih berisiko berdepan dengan MTL sehingga 31 Disember,” jelasnya. – TVS