SIBU, 27 Dis: Juara dunia dalam acara larian menara, Soh Wai Ching dijangka menyertai Sibu Tower Run (STR) 2023, Edisi Kelima di Wisma Sanyan pada 18 Mac 2023.
Pengerusi jawatankuasa penganjur, Kaunselor Yii Souk Ming berkata penyertaan Soh yang juga pelari menara kebangsaan akan menjadi pembakar semangat peserta lain pada acara yang menyasarkan lebih 500 penyertaan.
“Soh dijangka bertanding dalam kategori elit bagi mengekalkan kedudukannya sebagai pelari menara nombor satu dunia,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Anjuran Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dan Underground Runners Sibu (UGRS), STR memerlukan para peserta berlari menaiki 627 anak tangga bangunan setinggi 28 tingkat itu.
Beliau berharap lebih ramai lagi peserta menyertai larian ini sambil berhibur bersama-sama rakan dan keluarga mereka dengan memupuk gaya hidup sihat dengan merasai pengalaman menaiki anak tangga bangunan antara yang tertinggi di Sarawak.
Kali terakhir kejohanan ini diadakan ialah pada 8 Mac 2022 dengan penyertaan lebih 300 individu dari dalam dan luar negara termasuk Filipina, Singapura, United Kingdom, Jepun dan majoritinya peserta tempatan.
Pada STR 2020, Soh berjaya menamatkan lariannya dalam 2 minit 56 saat manakala 2 minit 58 saat pada STR 2019. – TVS