KUCHING, 26 Dis: Banjir di Sarawak masih lagi terkawal meskipun beberapa sungai di Sarawak berada pada paras amaran.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Datu Khirudin Drahman berkata, keadaan yang terkawal adalah disebabkan kerjasama yang baik daripada pihak komuniti.
“Kebanyakan komuniti di sini memberikan perhatian dan kerjasama yang cukup baik di mana proses arahan berpindah yang dikeluarkan agensi cukup baik.
“Ini bermakna dari segi penyelarasan dan koordinasi yang ada di lokasi contohnya, tuan rumah dan di bawah program Bomba Komuniti telah memberi perhatian, sebab itu pemindahan mangsa banjir di Sarawak ini diselaraskan dengan cukup baik,” katanya ketika dihubungi TVS.
Beliau berkata,koordinasi yang diselaraskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berjalan baik turut memudahkan urusan semua pihak secara tidak langsung dapat mengelakkan pertindihan tugasan di lokasi.
“Dari segi susun gerak kerja, kita ada penyelaras koordinasi yang dibuat oleh JPBN yang beroperasi di Wisma Bapa Malaysia, Kuching yang menyelaraskan gerak atur aset-aset supaya tidak berlakunya pertindihan kerja.
“Susun atur ini secara tidak langsung akan membuat gerak kerja kita nampak lebih lancar walaupun dengan keluasan dan kekuatan yang kita ada di Sarawak dengan taburan hujan yang lebat.
“Sebab itulah penting apabila JPBN menyelaraskn tugasan dan semua pegawai yang ada menyalurkan maklumat dan koordinasikan gerak atur ini. Ini merupakan satu perkara yang positif,” katanya.- TVS