LIMBANG, 26 Dis: Kegembiraan sebuah keluarga menyambut Krimas di kampung bertukar tragedi apabila ahli keluarga mereka iaitu seorang wanita yang juga pelatih jururawat maut, dalam kemalangan di Jalan Mendamit simpang Kampung Bangkuati, Limbang petang semalam.
Mangsa Deena Lorenza Christopher berusia 22 tahun yang baharu pulang bercuti dari Johor untuk menyambut Krismas di Kampung Bawang Ranggas, Limbang, ditemui tersepit di tempat duduk pemandu, sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan kereta jenis Perodua Alza dalam kejadian kira-kira jam 4 petang.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot berkata, hasil siasatan awal mendapati ketika kejadian kenderaan yang dipandu Deena Lorenza bersama dua rakannya masing-masing lelaki dan perempuan dari arah bandar Limbang menuju ke Tedungan, manakala kenderaan jenis Perodua Alza dari arah Tedungan ke bandar Limbang.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan Perodua Alza dipercayai telah masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kenderaan jenis Perodua Kembara yang dipandu mangsa.
“Akibat daripada rempuhan itu, mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian selepas disahkan pegawai perubatan hospital Limbang, manakala kedua-dua penumpang kenderaan serta pemandu kenderaan Alza mengalami kecederaan parah dan telah di bawa ke hospital Limbang untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan kepada TVS hari ini.
Kedua-dua kenderaan terbabit turut mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang Ramlan Marajan berkata, pasukan Bomba bertindak mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit iaitu pemandu kenderaan Kembara dan Alza menggunakan peralatan menyelamat ‘rescue tool’.
Beliau berkata, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis yang berada di lokasi kejadian untuk tindakan lanjut, manakala ketiga-tiga mangsa yang cedera parah dihantar kepada pasukan perubatan untuk rawatan dan tindakan lanjut.
Katanya sepasukan anggotanya bergegas ke lokasi yang jauhnya 15 kilometer dari balai sebaik menerima panggilan kecemasan jam 3.50 petang. – TVS