KUCHING, 26 Dis: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meluluskan permohonan dana RM8.5 juta oleh Gereja Anglikan bagi tujuan pembinaan kolumbarium.
“Berhubung cadangan kolumbarium itu, ok. Boleh dapatkan dana daripada Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas,” katanya pada Rumah Terbuka Krismas Anglikan di Katedral St. Thomas di sini, hari ini.
Menjelaskan lebih lanjut, Uggah berkata selain pembinaan kolumbarium, satu lagi projek kendalian gereja berkenaan ialah perkakas bangunan dalam House of the Epiphany dengan kos RM3 juta.
Dalam pada itu, Uggah berkata Rumah Terbuka Krismas Anglikan mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung yang berbilang kaum dan agama yang mencerminkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, perpaduan yang kukuh merupakan tonggak Sarawak untuk menjadi negeri berpendapatan tinggi menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030. – TVS