Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata perkara itu telah lama diperjuangkan pemimpin di negeri ini dan langkah itu dilihat signifikan dalam merealisasi tuntuan Sabah berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Terima kasih Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kerana inilah kita perjuangkan untuk memastikan bahawa hak kita dalam MA63 dapat ditunaikan. Kerajaan Perpaduan dipimpin Perdana Menteri telah menunjukkan kesediaan untuk menyerahkan hak kita iaitu kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Krismas Parti Bersatu Sabah (PBS) yang turut dihadiri Presidennya Datuk Seri Dr Maximus Ongkili di Likas di sini hari ini.
Pada 21 Dis lepas, Hajiji berkata Persidangan DUN Sabah akan diadakan bagi meluluskan dan mewartakan Rang Undang-Undang Negeri Sabah bagi bekalan gas.
Hajiji berkata Suruhanjaya Tenaga Sabah akan mengambil alih semua kuasa kawal selia untuk bekalan gas di darat (penggasan semula, penghantaran, pengedaran, penggunaan gas oleh pemegang lesen swasta dan runcit) di negeri ini berkuat kuasa serta-merta.
Terdahulu pada hari sama, Anwar mengumumkan kerajaan pusat bersetuju memindahkan kuasa kawal selia bekalan gas di Sabah kepada kerajaan negeri dan perkara itu dipersetujui sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan Persekutuan untuk menghormati MA63. -TVS