KUCHING, 25 Dis: Sarawak berpegang teguh dengan pendirian mahu kerajaan Persekutuan meneliti formula semakan pemberian geran khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan seperti yang peruntukkan oleh kerajaan negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata formula yang dikemukakan dilihat adil kepada kedua-dua belah pihak berhubung ia berlandaskan kepada hasil yang diperoleh daripada Sarawak.
“Biarlah mereka menilai. Saya tidak dapat mengumumkan formula kita tetapi ia sedang dipertimbangkan oleh kerajaan Persekutuan. Kita berpegang teguh dengan formula kita kerana ia lebih adil kepada Sarawak dan juga kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Krismas 2022 anjuran Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di kediamannya, hari ini.
Abang Johari memberitahu beliau turut difahamkan bahawa kerajaan Persekutuan juga memiliki formula mereka sendiri.
Namun, Abang Johari berharap agar formula yang dikemukakan oleh Sarawak dapat difahami dan dirasionalkan oleh kerajaan Persekutuan.
“Contohnya Duti Setem yang dipungut oleh kerajaan Persekutuan, hasilnya adalah daripada transaksi berasaskan kepada tanah kita iaitu aset negeri Sarawak,” jelasnya.
Pemberian geran khas antara perkara yang turut diketengahkan oleh kerajaan negeri bagi membolehkan Sarawak memperoleh agihan secara adil dan saksama.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof telah dipertanggungjawabkan untuk mengemaskini perundangan beberapa perkara Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam tempoh masa sebulan serta dijangka akan berakhir 4 Januari ini selepas dimuktamadkan oleh Jemaah Menteri.