Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Bantuan dihantar ke perkampungan Orang Asli termasuk di Pos Gob, Pos Belatim, Pos Bihai, Pos Balar dan kampung sekitar menggunakan helikopter susulan lokasi terlibat terputus hubungan kerana laluan balak rosak teruk akibat hujan. Foto Bernama.

Helikopter Bomba hantar 21 tan bekalan makanan ke perkampungan Orang Asli

ByBernama

GUA MUSANG, 25 Dis: Sejumlah 21 tan bantuan bekalan makanan untuk 1,400 keluarga masyarakat Orang Asli mula dihantar ke beberapa perkampungan mereka di sini menggunakan helikopter Mi-17-IV milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Bantuan dihantar ke perkampungan Orang Asli termasuk di Pos Gob, Pos Belatim, Pos Bihai, Pos Balar dan kampung sekitar menggunakan helikopter susulan lokasi terlibat terputus hubungan kerana laluan balak rosak teruk akibat hujan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Ab Aziz Yusoff berkata perkhidmatan Unit Udara JBPM Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang diperlukan kerana tiada jalan darat yang boleh digunakan untuk memasuki perkampungan terlibat.

“Apabila terputus jalan perhubungan, masyarakat Orang Asli kehabisan bekalan makanan kerana tanaman ubi juga tidak menjadi akibat kehadiran gajah di tempat mereka.

“Hari ini kita akan mulakan penghantar ke perkampungan yang paling jauh dan sukar iaitu Kampung Gawin yang melibatkan 43 keluarga dan seterusnya ke Kampung Gob yang mempunyai 144 keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita di Padang Kompleks Serbaguna Majlis Daerah Gua Musang, di sini hari ini.

Ab Aziz berkata sekiranya cuaca baik penghantaran akan diteruskan ke Kampung Simpor dan Kampung Jader yang secara keseluruhan mempunyai 232 keluarga yang terjejas.

“Diharap dengan bantuan bekalan makanan antaranya beras, gula, biskut, sardin dan tepung gandum ini dapat menampung keperluan mereka sementara menunggu keadaan cuaca bertambah baik,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Penguatkuasa Bomba Mohd Azuna Mohamed Sabri berkata kesemua kru penerbangan yang menghantar bantuan makanan tersebut, terlibat dengan bantuan banjir di Wakaf Tapai, Terengganu, sejak seminggu lepas sebelum tiba di Gua Musang bagi meneruskan bantuan di daerah ini.

“Penerbangan melibatkan sembilan orang kru dan kami akan menghantar 21 tan bekalan ke perkampungan Orang Asli. Penghantaran akan dilaksanakan sekurang-kurangnya lima hari untuk sampai ke semua tempat yang terlibat,

“Kalau ikutkan kita bermula semalam tetapi disebabkan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan kita terpaksa melakukan penerbangan hari ini,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam kenyataan menyebut penghantaran bakul makanan menggunakan helikopter itu bermula hari ini hingga 30 Dis melibatkan Pos Bihai dengan 304 ketua isi rumah, Pos Balar (223), Pos Simpor (210), Pos Gob (187) dan Pos Belatim (185).

Menurut JAKOA keperluan penghantaran bakul makanan sememangnya dalam perancangan, tetapi ia tidak dapat dilaksanakan lebih awal disebabkan penugasan helikopter JBPM di kawasan terjejas banjir di Kelantan dan Terengganu.

Kenyataan itu memaklumkan penghantaran melalui kenderaan darat pula tidak dapat dilaksanakan disebabkan keadaan jalan yang teruk serta terdapat runtuhan tanah yang berlaku di antara Pos Balar dan Pos Belatim berhampiran Kampung Dakoh.

Sehubungan itu, JAKOA telah berbincang dan bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) bagi kerja-kerja pembersihan runtuhan serta pembaikan cerun.

Bagaimanapun, menurut JAKOA kerja-kerja di lapangan mungkin tidak dapat dilaksanakan dalam masa terdekat memandangkan keadaan jalan dan cuaca masih buruk menyukarkan jentera berat untuk sampai ke lokasi kejadian. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan