KUCHING, 25 Dis: Bekalan makanan mencukupi untuk mangsa banjir di seluruh negeri ini menjadi keutamaan kerajaan Sarawak, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Selain, faktor keselamatan mangsa turut dititikberatkan tegas Timbalan Premier Sarawak itu dalam memastikan mereka yang terkesan oleh bencana dipindahkan ke kawasan yang selamat terlebih dahulu.
“Walaupun mereka berdepan dengan kesusahan dan tertekan akibat banjir, kami berharap (bantuan JPBN Sarawak) akan menjadikan mereka selesa apabila mereka berada di PPS ini,” katanya.
Uggah berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Krismas di kediamannya di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Uggah menyeru masyarakat yang mendiami kawasan tanah tinggi dan di lokasi kerap banjir sentiasa berwaspada pada musim Monsun Timur Laut ini.
“Saya minta mereka yang hendak bercuti terutamanya ke kawasan pedalaman sentiasa peka dan berhati-hati,” ujarnya sambil meminta mereka menghubungi penduduk setempat sama ada kawasan berkenaan selamat atau tidak, sebelum datang berkunjung.
Dalam pada itu, Uggah mendedahkan JPBN Sarawak telah mengaktifkan semula Bilik Gerakan Negeri beroperasi 24 jam sejak 23 Disember lalu.
Menurut Uggah, arahan berwaspada sehingga penghujung Februari depan turut dikeluarkan kepada semua JPBN peringkat Daerah dan Bahagian sebagai langkah berjaga-jaga.