SARIKEI, 24 Dis: Sekurang-kurangnya tiga kawasan di hulu dan pedalaman Sarikei kini dalam keadaan berjaga-jaga selepas berlaku peningkatan paras air berikutan hujan lebat sejak semalam.
Hasil pemantauan, pihak Bomba mendapati beberapa laluan ke rumah panjang termasuk di Bayong Ulu Sarikei dinaiki air kira-kira 0.3 meter atau lebih satu kaki.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Mahmudin Narudin berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan paras air terus meningkat jika hujan lebat berterusan.
“Saya ingin menasihatkan penduduk rumah-rumah panjang khususnya di kawasan hulu yang berisiko banjir supaya sentiasa berwaspada dan peka dengan keadaan cuaca serta persekitaran mereka termasuklah lokasi kediaman mereka yang rendah. Berdasarkan pemantauan semalam, kita mendapati beberapa laluan ke rumah panjang seperti di Bayong Ulu Sarikei dan di laluan Sungai Kunang telah dinaiki air pada paras satu kaki lebih.
“Walaupun keadaannya dilaporkan kembali normal tetapi ia boleh menjadi lebih buruk jika hujan lebat berterusan dan berpanjangan. Setakat ini, sekurang-kurangnya tiga kawasan di hulu Sarikei dalam pemantauan bomba selain penempatan penduduk berhampiran sungai. Pada masa yang sama, kita juga melakukan pemantauan di kawasan yang berisiko berlakunya kejadian tanah runtuh seperti di Sungai Nibong Kim San,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan penduduk di kawasan rendah agar peka dan segera mengambil keputusan untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat jika keadaan semakin buruk.
Menyentuh persiapan logistik, beliau menjelaskan bahawa berdasarkan ujian yang dilakukan sebelum ini pihaknya tidak mengesan sebarang kerosakan serta berjaya dilaksanakan dalam keadaan baik dan selamat. – TVS