Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kunjungan ke rumah panjang sempena Krismas anjuran Pusat Khidmat ADUN Semop dengan kerjasama ahli belia Saberkas Cawangan Meradong dan Kelab Belia Seberang United di Meradong pada Jumaat. Foto: Pusat Khidmat ADUN Semop

Negara maju juga diukur berdasarkan keharmonian masyarakat – Abdullah

KUCHING, 24 Dis: Ukuran kemajuan sesebuah negara yang maju bukan sekadar atas dasar kehebatan infrastruktur moden tetapi turut mengambil kira kualiti mentaliti dan keharmonian sesebuah masyarakat.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol yang berkata demikian, menambah keharmonian kaum di Sarawak perlu dikekalkan malah disemai dalam kalangan generasi muda.

“Tidak ada negara di dunia dapat ditadbir dengan baik jika masyarakat yang diurus, tebal dengan sikap prejudis di mana tahap perpaduan adalah rapuh dan keharmonian yang nipis,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Beliau diminta mengulas mengenai program pra Krismas di kawasannya, Dewan Undangan Negeri Semop pada Jumaat (23 Disember).

Ditanya mengenai punca isu perkauman sering menular dalam masyarakat sejak akhir-akhir ini, Abdullah mengakui bahawa antara punca anasir negatif ini mempengaruhi segelintir masyarakat adalah hasil tindakan atau corak kempen pemimpin-pemimpin politik tertentu yang cuai, rakus dan terdesak untuk meraih perhatian dan populariti politik.

“Sikap tidak bertangungjawab politikus-politikus ini sama ada sengaja atau tidak, telah meninggalkan kesan negatif atau ‘mencederakan’ keharmonian dan perpaduan masyarakat kita,” ujarnya.

Beliau berkata, sambutan perayaan seperti Krismas dan perayaan lain di Sarawak wajar dijadikan wadah untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Mengenai sambutan pra Krismas di kawasannya, beliau menjelaskan ia merupakan acara tahunan anjuran Pusat Khidmat ADUN Semop dengan kerjasama ahli belia Saberkas Cawangan Meradong dan Kelab Belia Seberang United.

Program itu membabitkan ziarah ke 14 rumah panjang di kawasan Selidap, Sungai Sian dan Muara Bunut di Bintangor.

Rombongan seramai 25 orang belia mewakili pelbagai kaum berkunjung ke rumah panjang dengan beberapa orang berpakaian Santa Claus menyampai cenderahati berupa replika pokok Krismas kepada setiap Tuai Rumah dan memberi buah tangan kepada kanak-kanak.

Objektif utama program ini adalah selain dari merapat silaturahim dan kerjasama warga belia berbilang kaum, ia juga bertujuan mengukuhkan persefahaman antara pemimpin-pemimpin masyarakat dan belia.

Menurutnya, sikap saling memahami dan toleransi dalam kalangan masyarakat majmuk harus dipupuk warga belia supaya keunikan Sarawak yang terkenal dengan keakraban dan kemesraan antara pelbagai kaum dan agama dapat bertahan.

“Mesej utama ingin disampaikan melalui program seperti ini adalah untuk menerapkan dalam jiwa warga muda kita sikap serta pemikiran agar membenci sebarang unsur atau dakyah yang berbaur perkauman dan buruk sangka,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan