SEREMBAN, 24 Dis: Dua remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggang mereka melanggar bahagian belakang sebuah lori rosak yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 279.6 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini malam tadi.
Ketua Polis Negeri Sembilan DCP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, dalam kejadian 11.30 malam itu, penunggang dan pembonceng berusia 18 tahun terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Insiden berlaku apabila tayar kanan bahagian belakang lori yang dipandu lelaki berusia awal 60-an dari Senawang menuju ke Puchong, Selangor, pecah di lokasi kejadian dan lori itu kemudian di parkir di lorong kecemasan dengan memasang tanda amaran segi tiga.
“Ketika berada di lorong tersebut, penunggang motosikal didakwa tidak sempat mengelak dan secara tiba-tiba merempuh bahagian kanan lori itu. Siasatan lanjut masih dilakukan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Inspektor Siti Syarah di talian 014-5144741 bagi membantu siasatan. – TVS