KUALA LUMPUR, 24 Dis: Jurulatih beregu campuran badminton negara baharu, Nova Widianto bersetuju menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana optimis dengan potensi dimiliki pemain kebangsaan yang kebanyakannya berada di kedudukan ranking terbaik.
Beliau berkata, keyakinan itu muncul selepas kejayaan demi kejayaan dilakar Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky yang sebelum ini membimbing beregu kebangsaan hingga ke Kejohanan Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Tokyo, Ogos lepas.
Jurulatih berusia 45 tahun itu berkata, kepercayaan kepada Rexy turut menjadi faktor utama sehingga beliau tidak mempunyai sebarang keraguan untuk menerima tawaran menyertai BAM dan menggalas tugas sebagai jurulatih beregu campuran.
“Pemain beregu campuran di Malaysia dan Indonesia sama, pemainnya muda, ranking bagus, profesional, saya lihat pemainnya bagus, semua berada di ranking terbaik, apa pun saya perlu yakin sebab kalau pemain yakin saya juga perlu yakin,” katanya yang ditawarkan jawatan tersebut ketika kejohanan itu.
Mengenai perancangannya, bekas pemain beregu Indonesia itu berkata, beliau akan berbincang dengan Rexy dalam masa terdekat tentang corak latihan atlet kebangsaan.
Nova dilantik sebagai jurulatih beregu campuran negara pada 21 Disember lepas bagi mengisi kekosongan jawatan itu selepas Paulus Firman meninggalkan BAM, April lepas.
Beliau bersama Liliyana Natsir pernah menjuarai Kejohanan Dunia pada 2005 dan 2007 selain meraih pingat perak Sukan Olimpik 2008 dan merupakan antara gandingan terhebat ketika itu. -TVS