PARIS, 24 Dis: Pejabat pendakwa raya Paris mengesahkan tiga orang termasuk seorang wanita dan dua lelaki terbunuh dalam kejadian tembakan pada pagi Jumaat di Paris.
Sementara itu tiga lagi dilaporkan cedera, seorang daripadanya kini dalam keadaan kritikal.
Menteri Dalam Negeri Perancis, Gérald Darmanin berkata “motif sebenar pembunuh” masih belum diketahui.
Darmanin, yang tiba di tempat kejadian petang Jumaat, berkata lelaki bersenjata itu “menyasarkan warga asing”, lapor Xinhua.
Suspek warganegara Perancis tidak berada dalam senarai pemerhatian radikalisme, dan tidak terlibat dalam mana-mana kumpulan ekstrem kanan atau gerakan politik lain yang dibubarkan baru-baru ini, kata menteri itu.
Bercakap kepada pemberita di tempat kejadian, pendakwa raya Paris Laure Beccuau mengesahkan suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau.
Lelaki berusia 69 tahun itu didakwa atas keganasan bersifat perkauman dan didakwa cuba mencederakan dua orang dengan pisau di timur Paris tahun lalu.
Presiden Perancis Emmanuel Macron menyifatkan tembakan itu sebagai “serangan keji” di tengah-tengah Paris.
Suspek melepaskan tembakan pagi Jumaat di tiga lokasi iaitu pusat komuniti Kurdish, restoran dan salun rambut.
Siasatan berhubung kejadian dilakukan sejurus selepas polis berjaya menahan suspek di tempat kejadian.
Sementara itu, menurut Agensi Akhbar Jerman (dpa), Darmanin berkata pengawal penguatkuasa harus ditempatkan di seluruh negara membabitkan kawasan tumpuan masyarakat Kurdish.
Misi diplomatik Turkiye di negara itu juga harus dilindungi untuk mengelakkan kejadian sama berulang. – TVS