KUCHING, 23 Dis: Bilangan pelajar aliran sains dan teknikal di negeri ini wajar ditambah bagi mencapai sasaran 60 peratus keperluan Sarawak untuk mencapai aspirasi negeri berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.
Timbalan Ketua Saintis & Timbalan Ketua Penasihat Sarawak Multimedia Authority (SMA), Prof. Dr. Al-Khalid Othman berkata setakat ini direkodkan 21,863 pelajar yang mengambil aliran sains dan teknikal, iaitu 11.4 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar sekolah menengah atas (Tingkatan 4, 5, dan 6) iaitu sejumlah 191,787 pelajar, pada tahun 2020 lalu.
“Kajian yang dilakukan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2022 menunjukkan lebih 80 peratus lepasan sekolah menengah tidak berminat untuk menyambung pengajian ke peringkat tinggi, sebaliknya mereka lebih menjurus kepada pekerjaan dalam gig ekonomi yang mungkin menjamin pendapatan yang lebih tinggi daripada seorang graduan,
“Faktor skim gaji yang tidak kompetitif bagi kemahiran teknikal juga meyebabkan pakar atau pekerja mahir kita berhijrah dan berlakunya ‘brain drain’ kepada Sarawak,” katanya ketika ditemu bual secara dalam talian bersama TVS.
Tambahnya lagi, program kesedaran dan kesediaan STEM dan TVET perlu dipertingkatkan dalam kalangan pelajar agar mereka tahu peluang kerjaya yang ditawarkan dan kemahiran yang diperlukan dalam bidang itu.
“Kerajaan perlu menyediakan satu ekosistem ataupun platform pembelajaran sepanjang hayat yang lebih holistik dan inklusif di mana bantuan atau sistem sokongan kemahiran diperkembangkan kepada kumpulan sasaran yang tertentu,” katanya.
Beliau menambah bantuan khas seperti biasiswa pinjaman bagi yuran pembelajaran secara tidak formal seperti program-program yang berkaitan dengan kemahiran asas yang menitikberatkan keperluan komuniti tu sendiri juga perlu diperkenalkan memandangkan kini hanya memfokuskan bantuan pendikan secara formal seperti diploma, ijazah sarjana muda dan sebagainya.
“Kerjasama dengan pihak universiti agar kemahiran digital boleh ditawarkan sebagai kursus elektif mengikut kesesuaian dan penyediaan program yang berteraskan zaman teknologi digital untuk menjadi nilai tambah kepada graduan,” ujarnya lagi.
Selain itu, katanya keperluan untuk menambahbaik kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih kreatif dan inovatif oleh tenaga pengajar supaya dapat menarik minat pelajar seawal di peringkat sekolah serta peranan ibu bapa juga memberi peluang anak-anak untuk bebas memilih bidang mengikut minat masing-masing.
Untuk rekod, Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian menyatakan kebimbangan beliau terhadap penurunan ketara graduan yang memiliki ijazah dalam bidang sains dan teknologi sebagai petunjuk yang tidak sihat dalam usaha Sarawak menuju negeri maju menjelang 2030 di Pusat konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Selasa. – TVS