KUCHING, 23 Dis: Kerja amal dalam kalangan masyarakat pada musim perayaan berupaya memantapkan jaringan sosial di negeri ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Sri Fatimah Abdullah.
“Bagi saya, kerja amal yang memfokuskan kepada kanak-kanak sangat membantu dalam komuniti ini kerana ia mampu menambah sistem jaringan sosial yang ada di Sarawak ini,” katanya.
Fatimah berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menghadiri sambutan Krismas di ‘The Salvation Army Children Home’ pada Khamis.
Sementara, Fatimah mendedahkan Kuching Love Book Association dan 38 Yayasan Amal Cinta menganjurkan sambutan Krismas bersama ‘The Salvation Army Children’ di sekitar bandar raya ini.
Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Kuching Love Book Association dan 38 Yayasan Amal Cinta tersebut kata Fatimah telah membantu masyarakat yang kurang bernasib baik sdalam memenuhi keperluan mereka terutama sekali semasa bulan perayaan.
“Dengan adanya badan bukan kerajaan (NGO) seperti Kuching Love Book Association dan 38 Yayasan Amal Cinta serta NGO lain, mereka mampu menyumbang kepada keperluan masyarakat kita terutama sekali semasa musim perayaan seperti ini dan semasa ditimpa musibah,” katanya lagi.
Untuk rekod, bantuan berupa cek bernilai RM43,986 telah diserahkan kepada lima kanak-kanak The Salvation Army Children’s Home untuk bantuan pendidikan.
Selain itu, sebanyak 16 buah basikal turut disumbangkan kepada kanak-kanak tersebut.
Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng, Pengasas 38 Yayasan Amal Cinta, Datuk Seri Ho Kim Aee dan Pengasas Kuching Love Book Association, May Loo Hun Ing.-TVS