KUCHING, 23 Dis: Enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di seluruh negeri bagi menempatkan mangsa banjir, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut Abang Johari, kesemua PPS terlibat masing-masing dua di Bau dan Samarahan serta setiap satu di Kuching dan Sebuyau.
“Buat masa ini, seramai 305 mangsa banjir, melibatkan 73 Ketua Isi Rumah (KIR) telah ditempatkan di enam buah PPS terbabit.
“Untuk PPS Kampung Sungai Bedaun ini sendiri, seramai 91 orang mangsa yang terdiri daripada 18 KIR telah dipindahkan.
“Saya meminta agar rakyat, terutamanya yang tinggal di kawasan berdekatan dengan sungai untuk berjaga-jaga dan ikutlah jika pihak berkuasa mengarahkan untuk berpindah dalam masa tiga bulan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat lawatan di PPS Kampung Sungai Bedaun, hari ini.
Pada masa sama, Abang Johari memaklumkan projek pembangunan yang sedang dilaksanakan di Kampung Sungai Bedaun diyakini akan menyelesaikan masalah banjir yang sering dialami oleh penduduk di kawasan tanah rendah itu.
“Projek ini akan melibatkan penyusunan semula saliran air dan perparitan agar tidak berlaku lagi banjir.
“Ini adalah salah satu infrastruktur yang penting, terutamanya apabila penduduk di bawah skim penempatan semula Darul Hana akan berpindah di sini kelak,” katannya lagi.
Sementara, Abang Johari memberitahu rojek pembangunan di sini dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak (DID) dan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA). – TVS