KUCHING, 23 Dis: Mangsa banjir yang dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akan menerima bantuan wang ihsan berjumlah RM1,000, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menurut Timbalan Premier Sarawak itu wang ihsan berkenaan dinaikkan serta merupakan kadar baharu berbanding bantuan RM 500 yang pernah diberi oleh mantan Perdana Menteri, Dato Sri Ismail Sabri Yaakob.
“Kita akan berusaha supaya wang ihsan ini akan dikeluarkan secepat mungkin,
“Bagi mangsa belum dipindahkan ke mana-mana PPS, Pegawai Daerah dan Residen akan membuat penilaian sama ada mereka layak untuk menerima bantuan tersebut.
“Tetapi buat masa ini, sesiapa sahaja yang terkesan memang akan kita bantu,” kata Uggah pada sidang media selepas membuat lawatan di PPS Kampung Sungai Bedaun, di sini, hari ini.
Dalam pada itu beliau turut mengerahkan ketua dan penghulu kampung untuk menasihati penduduk setempat untuk bersedia menghadapi banjir dan memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku banjir di kawasan masing-masing.
“Ini bagi memastikan bantuan dapat diuruskan dengan lebih teratur dan efisien,” tegasnya.
Terdahulu, Uggah bersama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melawat PPS Sungai Bedaun yang menempatkan seramai 91 orang mangsa. – TVS