KUCHING, 22 Dis: Berbaki beberapa hari sahaja lagi menjelang Hari Krismas menyaksikan Terminal Bas Kuching Sentral sudah mulai sesak dengan kehadiran orang ramai untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.
Tinjauan TVS menemui seorang penyelia tiket bas, Rose Priscilla mengenai sambutan pembelian tiket bagi perayaan hari Krismas pada kali ini katanya amat menggalakkan seperti sambutan perayaan yang lain sebelum ini.
“Penjualan tiket musim peryaan ini boleh dikatakan semuanya habis dijual. Contohnya, ramai orang membeli tiket untuk pergi ke Bintulu, Miri dan Sibu untuk musim perayan ini. Bermula 21 Disember lalu, kami menyediakan bas tambahan dalam pukul 10.05 malam untuk pergi ke Sibu dan menuju ke Bintulu dan Miri pada pukul 10 malam sahaja,” katanya ketika ditemui TVS pada hari ini.
Tambahnya aspek keselamatan setiap penumpang amat dititikberatkan untuk setiap perjalanan bagi memastikan penumpang selamat tiba ke destinasi.
“Kami melihat kapasiti penumpang di dalam bas. Kami tidak akan mengambil banyak barang untuk memastikan keselamatan penumpang pada setiap perayaan seperti Hari Krismas dan Hari Raya,” katanya lagi.
Sementara itu, penumpang bas, Norisha Boon yang ditemui berkata dirinya tidak akan melepaskan peluang pada cuti perayaan kali ini kerna berhasrat untuk pulang ke kampung halamannya di Sri Aman bagi menyambut Hari Krismas bersama keluarga tersayang ekoran kadar harga tiket bas yang berpatutan.
“Bagi perayaan Krismas pada tahun ini, saya balik kampung dari Kuching ke Sri Aman dengan kadar harga tiket bas hanya RM25 sahaja,” ujarnya sambil mendedahkan azam tahun baharunya ingin mendapat keputusan pelajaran yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya. -TVS