KUALA LUMPUR, 22 Dis: Langkah kerajaan untuk memperkenalkan Pelan Data Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih mendapat sambutan baik daripada orang ramai dan pujian kerana harga yang akan dikenakan nanti adalah rendah.
Pengurus Jualan, Chai Yook Weng, 61, berkata Pelan Data Perpaduan itu akan banyak membantunya mengurangkan perbelanjaan bulanan kerana sekarang ini dia melanggan perkhidmatan internet prabayar yang memerlukan isian semula RM30 sebulan untuk membolehkan beliau membeli data tambahan internet.
“Saya menanti-nanti untuk membeli pakej ini apabila dikeluarkan di pasaran dalam Februari tahun depan. Saya tidak perlu membayar RM30 setiap bulan hanya untuk memastikan akses data saya aktif,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Turut berkongsi sentimen sama, mekanik berusia 27 tahun, Aaron Arvin yang menghargai lonjakan kelajuan internet pelan data itu daripada satu megabit sesaat (Mbps) kepada tiga Mbps.
“Untuk satu tawaran pada harga RM30 dengan data sebanyak 30 gigabit (GB) untuk selama enam bulan, tiga Mbps adalah di atas purata kelajuan internet untuk pelan data yang sama, jadi ini merupakan sesuatu yang positif kepada mereka yang tidak mampu mendapatkan pakej dengan harga yang tinggi,” katanya.
Seorang pengguna Twitter dengan nama Dollah Abd Rizal (@DolRizal) berpendapat Pelan Data Perpaduan itu merupakan satu langkah baik kementerian untuk menjaga kebajikan golongan B40.
“Itulah sepatutnya! Lihat kepada keperluan B40 dahulu. Mereka mungkin golongan yang paling menderita bila tiba waktu kemelesetan ekonomi nanti. Langkah yang baik,” katanya dalam hantaran di Twitternya.
Terdahulu hari ini, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata kerajaan akan memperkenalkan Pelan Data Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih pada separuh harga dan tiga kali ganda kelajuan yang dijangka berada di pasaran Februari tahun depan.
Fahmi berkata pelaksanaan pelan data itu akan melibatkan lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi, iatu CelcomDigi, Maxis, UMobile, Telekom Malaysia (TM) dan YTL Communications.
Katanya, golongan yang disasarkan ialah belia berumur hingga 30 tahun, B40, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan veteran pasukan beruniform. -TVS