KUCHING, 22 Dis: Hasrat Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) memartabatkan dan memelihara hasil seni kreatif motif Sarawak dipergiatkan menerusi Pertandingan Sarawak Motive Design Challenge 2022 yang menyasarkan 100 penyertaan dari golongan belia negeri ini.
Ketua Dewan Muda DUBS, Nizam Dato Khalyd berkata inisiatif pihaknya disifatkan sebagai ‘serampang dua mata’ itu bukan sekadar mengangkat khazanah dan warisan negeri, malah bertindak sebagai platform untuk mencungkil bakat muda dalam hasil seni motif Sarawak.
Menurutnya DUBS menyahut saranan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) untuk melihat lebih ramai anak muda Sarawak mengambil peluang menceburi bidang seni kreatif.
“Bidang seni kreatif disifatkan dapat memberi pulangan pendapatan dan ekonomi serta mendapat tempat di Sarawak,
“Malah memberi impak kepada industri pelancongan, fesyen dan tekstil serta pelbagai bidang seni lain sekali gus berpotensi menarik peserta dari luar Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pelancaran Pertandingan Sarawak Motive Design Challenge 2022 di Juma’ani Pavilion di sini, hari ini.
Pertandingan itu diadakan dalam tempoh tiga bulan kata Nizam sebelum keputusan diumumkan pada Simposium Seni Motif akan yang dilangsung pada Mac tahun hadapan.
“Ramai sedia maklum, di sini merupakan Fashion Hub Pertama di Borneo dan dikhususkan kepada industri fesyen dan tekstil,
“Setelah 3 bulan cabaran berlangsung, satu Simposium Seni Motif pula bakal dianjurkan yang juga antara lain bertujuan membimbing dan mendedahkan lebih ramai anak muda serta graduan tempatan untuk menceburi bidang seni motif ini dengan lebih mendalam,” katanya lagi.
Para peserta berpeluang memenangi hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM10,000 selain ditempatkan dalam program yang ditawarkan di Center of Technical Excellence Sarawak (CENTEXS).
Pertandingan itu turut disokong DUBS, MTCP, Sarawak Entrepreneur Association (SEA), Koperasi Belia Inovatif Sarawak (KOBIS) dan CENTEXS.-TVS