KUCHING, 22 Dis: Sarawak memerlukan lebih ramai pereka muda yang menghasilkan rekaan kreatif menerusi motif negeri ini.
Cadangan Pengerusi Koperasi Belia Sarawak (KOBIS), Zaiwin Kassim itu selari dengan matlamat penggiat seni yang mahu generasi muda terlibat dengan rekaan kreatif yang menampilkan identiti Sarawak.
Justeru katanya, penganjuran Pertandingan Sarawak Motive Design Challenge (SMDC) disifatkan sebagai platform tepat untuk menarik minat serta mencungkil bakat muda tempatan.
“Para peserta perlu menghantar hasil seni motif Sarawak yang direka oleh mereka sendiri, jadi syarat utamanya, mestilah asli maknanya ia (rekaan) tidak boleh ambil dari internet dan sebagainya,” katanya kepada TVS, hari ini.
Selain itu, menurut Zaiwin cadangan itu akan memaksimumkan penggunaan platform digital kerana peserta boleh menghantar penyertaan di mana sahaja mereka berada.
“Pada bulan Mac nanti (2023) kita akan buat penentuan dan seterusnya simposium untuk menguar-uarkan serta mewujudkan kesedaran tentang rekaan motif Sarawak, bertepatan dengan matlamat kita untuk melatih dan melahirkan lebih ramai pereka muda di Sarawak,” katanya.
Sementara itu Pengurus Pentadbiran Center of Technical Excellence Sarawak (CENTEXS) Afini Rosini yang mewakili Pengurus Besar CENTEXS Commercial, Shahren Yusri berkata pertandingan berkenaan merupakan program pertama diadakan di Sarawak.
“Ia bertujuan untuk membangkitkan semula motif yang telah ditelan zaman, kita banyak arca bersifat moden ketika ini.
“Jadi sekarang kita mahu kembali ke motif asal, supaya kita dapat memperkenalkan kepada generasi muda seni dan rekaan motif Sarawak,” katanya.-TVS