SANDAKAN, 22 Dis: Tindakan seorang lelaki yang leka mengisi minyak Diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak di Beluran membawa padah apabila berjaya ditangkap, semalam.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Daerah Sandakan, Azdy Zukkry John berkata suspek warga tempatan berumur lingkungan 50-an itu ditahan menerusi Operasi SAMAR di Pekan Beluran, kira-kira pukul 3 petang.
Katanya, sebanyak 6,660 liter minyak Diesel telah dirampas daripada lori kendalian suspek selain sebuah lagi lori yang diletak berhampiran.
“Ketika serbuan, suspek sedang menjalankan aktiviti mengisi minyak Diesel bersubsidi daripada pam minyak ke dalam tong drum berwarna biru yang diletakkan di atas lori.
“Pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang kebenaran bertulis ataupun dokumen untuk suspek melakukan aktiviti tersebut.
“Pada masa yang sama terdapat sebuah lori di kawasan berhampiran yang juga dipenuhi tong biru berisi minyak Diesel. Bagaimanapun penjaga lori dipercayai telah melarikan diri,” katanya dalam sidang media di Sandakan.
Susulan daripada itu, Azdy berkata dua tindakan kes telah dihasilkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 melibatkan nilai rampasan minyak Diesel bersubsidi dan kenderaan yang disita dianggarkan sebanyak RM110,019.
Jelasnya, semua barang kes telah disita termasuk dua buah lori dan 34 tong biru berisi minyak Diesel sebanyak 6,660 liter.
Menurut beliau, siasatan lanjut berhubung kes tersebut akan dijalankan dibawah Seksyen 20(1) Aka Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntuk hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. – TVS