KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas rokok dan minuman keras yang cuba diseludup masuk ke negara ini dengan nilai lebih RM7.9 juta termasuk cukai selepas menahan empat buah kontena di Sabah.
Penolong Ketua Pengarah JKDM Sabah, Mohd Nasir Deraman berkata, kes pertama direkodkan berlaku pada 13 Disember kira-kira jam 7.20 malam di Pelabuhan Tawau selepas sepasukan anggota menahan dua buah kontena dan menemukan 36,432 liter minuman keras jenis bir disyaki barang larangan bernilai lebih RM568,000.
Menurutnya, kes kedua pula direkodkan pada 14 Disember kira-kira jam 10.15 pagi di Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu selepas imej imbasan mesin pengimbas mendapati dua buah kontena disyaki membawa muatan minuman keras dan rokok.
“Bagi kes kedua ini sebuah kontena mengandungi sejumlah 31,752 liter minuman keras jenis bir disyaki barang larangan bernilai lebih RM466,000 manakala sebuah lagi kontena mengandungi sejumlah 10,300,000 rokok putih bernilai lebih RM6.8 juta,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Mohd Nasir berkata, modus operandi bagi kedua-dua kes ini ialah membuat pengikraran palsu dengan mengikrar dagangan import sebagai barangan lain bagi tujuan penyeludupan dan sekaligus mengaburi mata pihak berkuasa.
Jelasnya, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967.
Dalam pada itu JKDM menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.-TVS