KUCHING, 22 DIS: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak mahu mencapai sifar kemalangan jalan raya bersempena perayaan Krismas kali ini.
Untuk tujuan tersebut, Pengarahnya, Norizan Jili berkata anggota-anggotanya di seluruh negeri telah dikerahkan terutamanya di kawasan kerap kemalangan bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini daripada berlaku.
“Hari ini kita melakukan pra operasi untuk kempen keselamatan jalan raya iaitu kita akan bermula pada hari ini (22 Disember) hingga 29 Disember.
“Semua cawangan kita terlibat dari Kuching sehingga ke Lawas bermakna pemantauan akan diadakan di kawasan ‘panas’ agar tiada sebarang kemalangan berlaku terutama yang melibatkan pengangkutan awam,” kata beliau selepas melancarkan operasi tersebut di Kuching Sentra, hari ini.
Pada masa sama, Norizan mengingatkan para pengguna jalan raya untuk berehat secukupnya jika mereka akan memandu untuk tempoh masa yang lama.
“Pastikan fizikal dan mental dalam keadaan yang baik semasa memandu dan dapatkan rehat yang secukupnya.
“Saya harap orang ramai akan mematuhi undang-undang jalan raya dan memastikan kenderaan dalam keadaan yang baik sebelum memulakan perjalanan,” ujarnya.
Sementara, JPJ Sarawak turut menempatkan perkhimatan di Kuching Sentral bagi memudahkan orang ramai yang ingin memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan serta pembayaran saman yang dikeluarkan oleh pihak JPJ. – TVS