Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Tuai rumah, Rumah Panjang Kampung Sri Kenyalang, Micheal Igih ditemui TVS pada hari ini. Foto: TVS

Bekalan elektrik, air sepenuhya jadikan sambutan Krismas dan Tahun Baharu lebih bermakna

BINTANGOR, 22 Dis: Penantian penduduk Rumah Panjang Kampung Sri Kenyalang berhampiran Jambatan Merah, Bintangor untuk menikmati bekalan elektrik dan air bersih kini berakhir setelah kediaman mereka dilengkapi kemudahan asas itu sepenuhnya.

Pelaksanaan projek itu sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan Sarawak dalam usaha menyediakan kemudahan terbaik untuk rakyat termasuk di rumah panjang mereka.

Tuai rumah, Micheal Igih berkata kemudahan yang amat diperlukan itu sekali gus menjadikan sambutan Krismas tahun ini lebih bermakna.

“Sambutan Tahun Baharu dan Krismas yang akan datang ini tidak seperti dahulu lagi. Petang sehari sebelum 25 haribulan ini, saya rasa akan lebih meriah lagi berbanding dahulu kerana kemudahan elektrik dan air sudah ada di rumah panjang ini. Terima kasih saya ucapkan kepada kerajaan negeri Sarawak dan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya ketika ditemui TVS pada hari ini.

Rumah panjang itu telah dibina secara bergotong-royong oleh penduduk dengan bantuan Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) di kawasan DUN Meradong sejak tahun 2015.

Sementara itu, penyediaan bekalan elektrik dan air bersih untuk rumah panjang 14 pintu berkenaan pula dibantu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.

“Kami mula berpindah masuk ke rumah panjang ini pada 29 Februari 2019 dengan ketiadaan kemudahan air dan elektrik. Dahulu, kami hanya mempunyai satu air bersih yang dikongsi bersama dan menggunakan penjana kuasa sahaja di sini. Jadi, kami semua menunggu tahun demi tahun sehinggalah sekarang saya berasa senang hati kerana semua peralatan elektrik seperti kipas dan peti sejuk dapat berfungsi dengan kemudahan elektrik yang ada,” katanya lagi.

Sementara itu, ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing hadir merasmikan kemudahan asas tersebut pada Program Pemimpin Bersama Rakyat di rumah panjang tersebut baru-baru ini.

Pada majlis yang sama, Kuong Hiing turut menyumbangkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM10,000 kepada Persatuan Tuai-Tuai Rumah Daerah Meradong dan RM5,000 lagi untuk JKKK dan Biro Wanita Rumah Michael.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan