KUCHING, 22 Dis: Amalan golongan sukarelawan yang membantu untuk menjayakan agenda kerajaan dilihat menjadi sebahagian besar dalam mencorak gaya hidup masyarakat masa kini.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Mohammad Razi Sitam berkata kehadiran golongan itu telah membantu meningkatkan kadar keberkesanan sesuatu program yang digerakkan oleh kerajaan.
“Mengambil contoh sukarelawan di kawasan saya sendiri ketika pandemik Covid-19 melanda negara, tanpa bantuan sukarelawan sudah pasti segala bantuan yang disalurkan kepada masyarakat akan lambat tiba kepada rakyat yang memerlukan,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas itu berkata demikian pada Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama Sukarelawan Khidmat Bantu Di Rumah di Hotel Samudera di sini, pada Rabu.
Menurut Mohammad Razi lagi amalan sukarelawan di negeri ini merupakan satu perkembangan positif menjadikan ia harus diterima secara terbuka agar semangat sukarelawan terus mekar di hati masyarakat.
“Kerja-kerja sukarela sebegini juga dapat melatih dan memupuk sifat kepimpinan di dalam seseorang individu,” ujarnya.
Memandangkan tambah beliau amalan sukarelawan akan menjentik motivasi kepada anggota masyarakat yang lain sekali gus mendorong organisasi untuk menganjurkan sesebuah aktiviti kesukarelawanan.
“Kerja-kerja sukarela juga akan dapat melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan seperti kemahiran berkomunikasi serta pengurusan media terutamanya kepada golongan remaja di negeri ini kerana sebahagian kemahiran berkenaan yang tidak dapat dipelajari di sekolah mahupun di rumah,” jelasnya.
Pada masa sama, Mohammad Razi meyakini aktiviti kesukarelawanan juga merupakan salah satu alternatif untuk golongan remaja menghindarkan diri daripada terjebak dengan gejala negatif. – TVS