KOTA KINABALU, 21 Dis: Parti Warisan amat mengalu-alukan keputusan jemaah menteri untuk memindahkan kuasa mengawal selia bekalan gas di Sabah kepada kerajaan negeri.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pihaknya berterima kasih dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berhubung perkara tersebut.
Katanya, ia menunjukkan keprihatinan beliau terhadap aspirasi, keinginan dan impian penduduk Sabah selama ini.
Sehubungan itu, beliau juga berharap berita baik tersebut akan disusuli dengan pelaksanaan 21 perkara yang dikemukakan kerajaan Sabah dan Sarawak pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia (MA63) ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) lalu.
“Setakat ini, 17 daripada 21 perkara telah mendapat persetujuan bersama antara kerajaan persekutuan PH lalu dan kedua-dua kerajaan negeri.
“Empat perkara lain yang belum dimuktamadkan adalah isu royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum, mineral minyak dan medan minyak, Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) dan hak negeri ke atas pelantar benua,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata Warisan yakin penduduk Sabah akan menghargai dan amat berterima kasih kepada kerajaan sekiranya kesemua 21 perkara itu dapat dilaksanakan. – TVS