Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Seorang anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) meninjau kawasan tanah runtuh ketika operasi SAR di Batang Kali. Foto: Hasnoor Hussain/Reuters

Tanah runtuh: Mayat ke-25, seorang kanak-kanak perempuan ditemukan

ByBernama

KUALA LUMPUR, 21 Dis: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya dekat Batang Kali yang memasuki hari kelima semalam, menemukan mayat seorang kanak-kanak perempuan pada 11.15 malam sebelum operasi ditangguhkan pada 12 tengah malam tadi.

Penemuan mayat kanak-kanak dianggarkan berusia lingkungan lima hingga tujuh tahun itu, menjadikan angka korban tragedi berkenaan kini 25 mangsa.

Operasi semalam dipergiatkan dengan anggota pasukan ‘sweeper’ ditingkatkan empat kali ganda kepada 28 orang berbanding hanya tujuh orang.

Terdahulu, anggota penyelamat menemukan selimut, tong dan peralatan perkhemahan ketika pencarian di sektor C (Riverside).

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Wan Md Razali Wan Md Ismail berkata, selain sektor C, pihaknya mengulangi pencarian di sektor A (Hill View) dan B (Farm View) bagi mengesan mangsa.

Anggota penyelamat juga terus bersemangat dan tidak berputus asa dalam menjalankan tugas pencarian, meskipun terdapat tiga pegawai dan anggota yang menerima rawatan selepas kurang sihat dan mengalami kecederaan ringan.

Malah Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, ada antara anggota penyelamat yang enggan keluar dari lokasi pencarian bagi mengesan baki mangsa yang masih hilang, walaupun dibenarkan untuk berehat.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, polis sudah merakam keterangan 53 individu, bagi membantu siasatan berhubung tragedi berkenaan termasuk pengusaha, dua pekerja tapak perkhemahan selain mangsa yang terselamat dan keluarga mereka.

Tragedi tanah runtuh pada jam 2.42 pagi Jumaat lepas di tapak perkhemahan itu, setakat ini menyaksikan 61 selamat, 25 nyawa terkorban dan lapan lagi mangsa masih hilang daripada keseluruhan 94 mangsa yang terlibat.

Mengikut data dari Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), seramai 29 daripada keseluruhan mangsa yang terlibat dalam insiden tanah runtuh itu adalah kanak-kanak. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan