Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian menyaksikan penyerahan anugerah kepada salah seorang penerima semasa Majlis Chemistry Night anjuran Institut Kimia Malaysia di Kuching. Turut hadir, Presiden IKM, Datuk Dr Soon Ting Kueh (kanan). Foto: TVS

Sarawak perlukan lebih ramai tenaga profesional petrokimia dan biokimia

KUCHING, 21 Dis: Sarawak memerlukan lebih ramai tenaga profesional dalam bidang kimia sebagai keperluan menampung kapasiti tenaga kerja dalam industri minyak dan gas serta perubatan.

Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, ia sebagai persiapan ke arah perlaksanaan ekonomi hidrogen menerusi industri petrokimia dan pusat pakar kanser yang akan dibangunkan.

Menurutnya, Sarawak memerlukan sekurang-kurangnya 1,500 jurutera petrokimia susulan pemulaan projek tenaga hijaunya  berskala besar yang secara tidak langsung memerlukan jurutera petrokimia tetapi pakar dalam bidang biokimia.

“Kita mesti ada jumlah tenaga (ahli kimia) yang melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan kimia, kalau tidak, bagaimana hendak mencari bakat ini (bagi mengisi keperluan yang ditawarkan).

“Selain itu kita berharap agar Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk Sarawak membangunkan hospital kanser tahun depan dan dengan itu, kita juga memerlukan tenaga mahir dalam bidang biokimia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Chemistry Night anjuran Institut Kimia Malaysia (IKM) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu turut membangkitkan persoalan bagaimana untuk menarik minat generasi muda menceburi bidang sains dan teknologi.

“Ketika ini jumlah graduan yang mengambil bahagian dalam bidang sains dan kejuruteraan menurun, jadi semua pihak harus memainkan peranan penting ini untuk bersama-sama membina negara terutama di Sarawak.

“Tiada lagi alasan untuk tidak mendapatkan pendidikan ketika ini kerana masalah kewangan, Sarawak telah menyediakan pelbagai kemudahan pendidikan, jika tidak dapat ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kita ada IPT swasta milik penuh kerajaan negeri,” ujarnya.

Apa yang penting jelasnya, rakyat perlu bijak memanfaatkan peluang yang disediakan itu untuk terlibat sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan negara terutama dalam melahirkan lebih ramai tenaga jurutera dan saintis.

“Seperti yang dikatakan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, Malaysia tidak boleh hanya kekal dengan pelan intensif rendah sebaliknya memulakan langkah ke arah trasformasi teknologi.

“Akhirnya Kuala Lumpur sudah sedar akan kepentingan teknologi seperti apa yang dilaksanakan oleh Sarawak sebelum ini, cuma isunya sekarang, ramai lagi yang belum sedar akan peluang yang ditawarkan,” jelasnya lagi. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan