PUTRAJAYA, 21 DIS: Sambutan Ambang Tahun Baharu 2023 yang akan diraikan pada 31 Disember ini di Dataran Merdaka dibatalkan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira bencana banjir yang sedang melanda beberapa negeri di semenanjung Malaysia ketika ini.
“Oleh kerana keadaan banjir dan kesusahan rakyat kita putuskan sambutan besar-besaran ambang tahun baharu 31 Disember di Dataran Merdeka dibatalkan,” katanya.
Anwar berkata demikian pada sidang media Pasca Mesyuarat Kabinet Kerajaan Perpaduan Malaysia di sini, hari ini.
Katanya lagi tumpuan mesyuarat jemaah menteri yang diadakan pada hari ini memberi tumpuan isu banjir yang berlaku di negeri Kelantan dan Terengganu.
“Hari ini saya akan ke Kelantan dan sebarang pengumuman soal banjir akan dilakukan di sana setelah mendengar pandangan di lapangan dan kerajaan negeri,” ujar Anwar lagi.
Tambah beliau lagi pandangan juga telah dikemukan untuk melibatkan badan-badan sukarela dan badan bukan kerajaan (NGO) dari segi kebajikan dan bantuan selain menagih penglibatan lebih besar daripada pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Beberapa kemudahan sedia ada akan dimanfaatkan untuk maksud itu,” tambah Anwar.