SANDAKAN, 21 Dis: Seorang pemandu pacuan empat roda maut (4WD) selepas terlibat kemalangan dengan sebuah jentera berat di hadapan Taman Grandview, Jalan Buli Sim Sim di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata, dalam kejadian lebih kurang jam 6.30 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Omar Dayong, 40, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut beliau, hasil siasatan awal pihaknya mendapati ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang dari pusat bandar menuju ke rumahnya.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan merempuh jengkaut tanah yang berada di bahu jalan,” katanya.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan tiba di lokasi kejadian untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Operasi itu tamat pada jam 7.20 pagi selepas pihak Bomba selesai memastikan tiada sebarang kemerbahayaan yang lain. – TVS