KUCHING, 21 Dis: Seramai 27 orang kanak-kanak dari Taska SeDidik Wiswani diraikan pada Majlis Akhir Tahun dan Hari Keluarga, hari ini.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran para ibu bapa dan penjaga yang kelihatan bergaya dan ranggi berpadanan dengan tema majlis iaitu ‘denim’ bertempat di Wisma Wanita, Jalan Sultan Tengah di sini.
Menurut Ketua Pendidik Taska SeDidik WisWani, Nur Atiqah Nurul, majlis berkenaan diadakan bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara tenaga pengajar dan ibu bapa.
“Pada hari ini majlis turut diserikan dengan acara persembahan kanak-kanak taska ini diiringi tujuh guru yang mereka,” katanya kepada TVS hari ini.
Kegembiraan terpancar hari ini kata Atiqah berhubung Taska WisWani merupakan salah satu daripada 27 buah taska SeDidik di negeri ini yang mendidik kanak-kanak berkeperluan khas.
Beliau mendedahkan tiada kesulitan bagi para guru untuk mendidik kanak-kanak normal bersama mereka yang berkeperluan khas di taska berkenaan.
“Kanak-kanak berkeperluan khas memerlukan perhatian khusus daripada para guru memandangkan kita tidak dapat menduga apa yang mereka mahu selain mereka ini agak lambat untuk memahami arahan,
“Berbanding anak-anak biasa (normal) mereka dapat memahami arahan serta mudah didisiplinkan,” ujarnya taska tersebut menerima kanak-kanak berkeperluan khas sejak tiga tahun lalu.
Terdahulu, Majlis Akhir Tahun dan Hari Keluarga Taska SeDidik Wiswani dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, Salmah Jobeli.
Bercakap mengenai majlis, Atiqah menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terutama para guru dan ibu bapa bagi menjayakan majlis hari ini.