Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Abdullah Saidol bersama para wakil organisasi penerima peruntukan MRP di Kampung Tekajong, Pulau Bruit dekat Daro pada Selasa. Foto: Saibi Gi

Formula RTP Sarawak dicontohi dan ikutan negeri lain – Abdullah

DARO, 21 Dis: Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dicontohi beberapa negeri lain kerana berkesan dalam mempercepatkan pembangunan infrastruktur asas berskala kecil dan sederhana di luar bandar, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol.

Menurutnya, peruntukan RTP bagi tujuan pelaksanaan segera pelbagai projek berskala kecil dan sederhana terutama di kawasan pedalaman amat dihargai oleh semua wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) terutama yang mewakili kawasan pedalaman.

“Objektif utama RTP adalah untuk mempercepatkan proses kelulusan dan pelaksanaan projek berskala kecil dan sederhana di kawasan desa. Pejabat Residen akan bertindak sebagai sekretariat utama mengawal peruntukan dan mengurus proses pelaksanaan melalui agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) atau Majlis Daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa lawatan kerja beliau di beberapa lokasi di Pulau Bruit dekat sini pada Selasa.

Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata sebahagian besar projek-projek RTP di kawasannya telah dilaksanakan dengan baik, tetapi ada juga beberapa projek yang gagal dilaksanakan dengan sempurna oleh kontraktor yang dipilih melalui kaedah cabut undi sehingga menyebabkan projek tersebut lambat siap dan terbengkalai.

Menjelaskan lanjut mengenai RTP, beliau berkata antara contoh projek-projek kecil dan sederhana yang disenarai dan dipohon wakil rakyat GPS ialah seperti pembinaan jaringan jalan dalam kampung atau rumah panjang, naik taraf jeti, pembinaan balai raya dan baik pulih pelbagai kemudahan asas desa.

Menurut Abdullah lagi, bagi tujuan mengumpul senarai projek-projek RTP yang dicadangkan oleh wakil rakyat, Pejabat Residen dan Pejabat Daerah mengadakan sesi perjumpaan atau makmal RTP dengan semua wakil rakyat dalam kawasan pentadbiran masing-masing.

Makmal RTP peringkat bahagian ini turut dihadiri oleh semua Pegawai Daerah, pegawai agensi-agensi pelaksana seperti JKR, DID dan lain-lain.

Bagi tujuan projek dalam kategori RTP, setiap wakil rakyat boleh menyerahkan senarai projek cadangan untuk dilaksanakan dalam kawasan masing-masing tetapi nilai keseluruhan projek dihadkan dalam linkungan RM5 juta setahun. Penilaian dan anggaran kos projek akan ditentukan oleh agensi yang berkaitan selaku pihak yang memantau dan pelaksana projek tersebut.

Abdullah berkata lagi projek-projek berskala besar memerlukan peruntukan besar yang sedang atau akan dilaksanakan dalam kawasan beliau seperti jambatan Batang Paloh dan jambatan muara Batang Lassa yang menghubungkan Pulau Bruit atau menaik taraf jalan utama dan bekalan air dan elektrik adalah melalui permohonan secara terus kepada kerajaan.

Dalam pada itu, semasa lawatan kerjanya, Abdullah menyampaikan sumbangan peruntukan dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada 12 penerima.

Penerima terdiri daripada 10 PIBG di Pulau Bruit, jawatankuasa masjid Kampung Saai dan Saberkas Cawangan Meradong.

Jumlah keseluruhan sumbangan dana adalah sebanyak RM56,000.00.

Peruntukan adalah untuk mengadakan pelbagai aktiviti sekolah dan program kemasyarakatan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan