KUCHING, 20 Dis: Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak adalah langkah yang pertama dalam misi penyahkarbonan.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni berkata, dengan adanya sistem ART dan bas hidrogen ia diramalkan dapat mengurangkan jejak karbon sebanyak 15 peratus pada tahun 2030.
“Penyelidikan yang dijalankan mendapati pengenalan kedua-dua sistem pengangkutan ini adalah langkah pertama dalam penyahkarbonan sektor pengangkutan dan diramalkan akan mengurangkan trafik di Kuching-Sri Aman-Serian antara 6 hingga 12 peratus (anggaran konservatif) apabila sistem itu tersedia dalam talian sepenuhnya.
“Kelebihan tambahan penggunaan hidrogen sebagai bahan api pengangkutan awam seperti ART dan trak komersial ialah keupayaannya menggunakan jalan dan infrastruktur sedia ada tanpa perlu membangunkan infrastruktur logistik baharu yang mahal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sistem itu sesuai untuk pekan dan bandar yang padat penduduk dan memerlukan kos yang tinggi bagi membina landasan kereta api atau kereta bawah tanah baharu.
“Pada masa sama penggunaan sistem pengangkutan berkuasa hidrogen akan melindungi alam sekitar di sepanjang sungai dan ekosistem hutan, hasilnya ialah air yang dialirkan semula ke sungai atau laut tidak tercemar,” ujarnya.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan Majlis Pecah Tanah untuk sistem ART berkuasa Hidrogen yang pertama di Sarawak dan di dunia pada 17 Disember lalu,
Katanya, sistem ART adalah komitmen Kerajaan Sarawak bagi menyahkarbonkan dalam sektor pengangkutan dalam mencapai aspirasi Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) iaitu Kelestarian Alam Sekitar, Ekonomi dan Keterangkuman Sosial.
Sistem ART dijangka akan beroperasi pada penghujung 2025 yang menghubungkan Kota Samarahan dan Kuching sepanjang 69.9 kilometer. – TVS