PETALING JAYA, 20 Dis: Presiden Persatuan OKU Sentral (OKU Sentral) Datuk Ras Adiba Radzi menyifatkan konsert ILHAM 2022 yang diadakan sempena sambutan Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), di sini malam tadi merupakan satu pencapaian yang membanggakan.
Beliau berkata persembahan berbakat dalam kalangan komuniti Orang Kelainan Upaya (OKU) itu boleh membawa kepada penganjuran jelajah peringkat nasional tahun depan.
“Orang selalu fikir kalau persembahan OKU ni biasa sahaja tetapi mereka memang hebat. Jadi fokus kami adalah membawa mereka ke seluruh negeri dan menunjukkan bakat mereka,” katanya kepada Bernama.
Ras Adiba yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata, beliau bersyukur kerana rakan-rakan OKU bersemangat tinggi dalam mempamerkan bakat kerana ada dalam kalangan mereka yang berlatih secara dalam talian untuk konsert berkenaan.
Konsert berkenaan diserikan dengan persembahan Ras Adiba, Khai & Dinie, Umar Hasfizal, Shahril of Muniros dan Eyelitz Dancers bersama penari-penari Anak Seni OKU Sentral, OS Wheelies, Permata Gemalai Sari, M.Neranjan daripada PPKI SMK Desa Perdana KL, Low Mee Li & Orange of OS/Beautiful Gate dan Tadika Istika Jaya.
Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, penyanyi dan komposer Datuk M. Nasir serta pengarah filem Datuk Afdlin Shauki.
Hari OKU Antarabangsa disambut pada 3 Dis setiap tahun.-TVS