Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto: Bernama

Kerajaan teruskan pemberian KGT tambahan khas RM100

ByBernama

KUALA LUMPUR, 20 Dis: Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk meneruskan pemberian Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 kepada semua penjawat awam gred 11 hingga 56, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kerajaan juga bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM700 kepada 1.3 juta penjawat awam gred 56 ke bawah dan sebanyak RM350 kepada satu juta pesara kerajaan.

“Kerajaan Perpaduan ini amat berterima kasih atas kesungguhan yang tidak berbelah bahagi anggota awam dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kerajaan memang silih berganti, tetapi penjawat awam kekal setia dan dedikasi demi negara,” kata beliau ketika membentangkan peruntukan khas (Bajet Mini) di Dewan Rakyat hari ini.

Rang Undang-undang Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 itu melibatkan perbelanjaan perkhidmatan membabitkan wang sejumlah RM107,718,676,650.

Di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini, beberapa inisiatif diumumkan untuk penjawat awam antaranya tambahan khas RM100 dalam Bayaran KGT mulai Januari depan dan pemberian BKK Tahun 2023 sebanyak RM700 pada Januari.

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) turut menyeru kerajaan baharu di bawah pimpinan Anwar supaya mengekalkan semua inisiatif untuk penjawat awam yang telah diumumkan kerajaan terdahulu.

Presidennya Datuk Adnan Mat dilaporkan berkata, inisiatif yang telah diumumkan melalui Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-18 pada 30 Ogos dan pembentangan Bajet 2023 pada 7 November lepas, adalah suatu yang telah dijanjikan oleh kerajaan selaku majikan kepada penjawat awam. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan