Beliau tiba pada jam 8.58 pagi dengan disambut oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat Alice Lau, Ketua Pentadbir Parlimen Datuk Nor Yahati Awang dan Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin yang kemudiannya mengiringi Johari memasuki Pejabat Speaker Dewan Rakyat.
Beliau menyambung tugas mempengerusikan persidangan hari kedua, Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15. Ia merupakan Persidangan Dewan Rakyat pertama di bawah Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Perdana Menteri ke-10 Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada hari pertama sidang Dewan Rakyat semalam, Johari yang merupakan Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun dipilih menjawat jawatan tersebut bagi menggantikan Tan Sri Azhar Azizan Harun.
Beliau yang dicadangkan oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mewakili kerajaan telah mendapat 147 undian berbanding bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad yang mendapat 74 undi.
Sebelum ini, Azhar Azizan meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat berkuat kuasa 18 Disember setelah menyandang jawatan sejak 13 Julai 2020. -TVS