Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pokok kantan merupakan tumbuhan malar, iaitu hanya ditanam sekali dan boleh bertahan hidup dalam apa juga keadaan. Foto: Envato

Ganti kuali dengan cangkul, bekas cef gembira jadi usahawan bunga kantan

ByBernama

BANGI, 20 Dis: Demi menjaga ibu yang menghidap kanser payudara tahap tiga selain isteri sarat hamil anak pertama, Saqdam Zaim Arffain memutuskan untuk bertukar kerjaya, melakukan sesuatu yang bukan sahaja di luar kepakaran tetapi juga belum tentu akan hasilnya – daripada seorang tukang masak kepada usahawan tani.

Enam tahun berlalu, bergelumang tanah dan keringat, ternyata lelaki berusia 31 tahun itu membuat keputusan tepat kerana hasil yang diraihnya selaku usahawan bunga kantan sekarang jauh lebih lumayan berbanding upah yang diterima sebagai cef di sebuah kilang semikonduktor.

Namun, paling penting katanya, beliau mempunyai masa untuk bersama keluarga dan menjaga ibu yang masih menjalani rawatan.

“Memang seronok sebenarnya bekerja sebagai cef, namun waktu kerjanya cukup panjang dan melelahkan.

“Apabila ibu jatuh sakit dan isteri pula sedang sarat mengandung, saya putuskan untuk melakukan pekerjaan yang tidak mengikat masa saya,” kongsinya ketika ditemui Bernama di ladang bunga kantannya di sini baru-baru ini.

Bagaimanapun menurut lelaki itu, kejayaan yang dikecapi hari ini tidak datang sekelip mata, kerana beliau menghabiskan masa kira-kira setahun melakukan kerja lain sebelum mengusahakan tanaman bunga kantan.

“Saya berhenti kerja pada 2015. Pada mulanya saya berniaga kecil-kecilan di tepi jalan, namun selepas seketika saya berasakan ia tidak serasi dengan saya.

“Kemudian tergerak di hati saya untuk menceburi bidang pertanian, bertanam sayur. Tidak jauh dari rumah saya ada satu kawasan lapang iaitu tanah rizab KTMB (Keretapi Tanah Melayu Berhad), dan selepas diselidik saya dapati tanah itu boleh disewa untuk dijadikan kawasan pertanian.

“Saya berjaya menyewa tanah seluas tiga ekar atau 1.2 hektar itu yang kemudian saya tanam dengan serai paha ayam. Hasilnya saya jual kepada peraih dan peniaga kecil di sekitar Bangi, namun selepas mengambil kira kos dan tenaga yang dikerah, keuntungannya tidak seberapa.

“Bayangkan, sebatang serai cuma boleh dijual sekitar lima sen, dan bagi saya ia tidak berbaloi kerana ini adalah punca pendapatan utama bagi menanggung keluarga,” ujarnya yang turut menanam pokok buah-buahan.

Beliau kemudian menjalankan kajian sendiri bagi mengenal pasti sayur-sayuran yang mudah ditanam dan memberi laba memuaskan.

“Dari situlah saya tahu kantan berpotensi besar untuk diusahakan. Bermula dengan hanya lapan rumpun pokok kantan pada 2016, kini saya mempunyai lebih kurang 800 rumpun yang menghasilkan jualan bunga kantan dan benih bernilai kira-kira RM5,000 hingga RM10,000 sebulan.

“Saya jual secara terus kepada pembeli, kedai dan juga pasar raya di sekitar Lembah Klang,” ujarnya, menambah ladang beliau mengeluarkan kira-kira 400 hingga 700 batang bunga kantan seminggu.

Menurutnya, sebatang bunga kantan dijual pada harga RM1.50 dan RM2, namun boleh mencecah hingga RM5 sebatang pada musim perayaan.

Menurut Saqdam Zaim, pokok kantan merupakan tumbuhan malar, iaitu hanya ditanam sekali dan boleh bertahan hidup dalam apa juga keadaan, mudah dijaga serta mempunyai daya tahan yang tinggi terhadap serangan penyakit dan makhluk perosak.

“Cara penanamannya cukup mudah iaitu melalui benih rizom yang diambil daripada pokok kantan yang sudah matang dan telah menghasilkan bunga. Benih ini boleh ditanam di tanah gambut yang lembap dan dekat dengan mata air.

“Pokok ini juga tidak perlukan penjagaan rapi selain tidak perlu dibaja dengan kerap. Memadai gunakan teknik mulching untuk menjaga kelembapan tanah dan membantu tumbesaran.

“Teknik mulching ini cukup mudah, cuma taburkan daun-daun kering di atas tanah dan ia akan menghalang lalang atau rumput daripada tumbuh. Ia juga akan menggalakkan pertumbuhan mycorrhizae (kulat baik) dalam tanah yang membantu dalam proses simbiosis nutrisi antara pokok dan kulat,” jelasnya yang hanya beroleh pengetahuan melalui pembelajaran sendiri.

Menurutnya lagi, pokok kantan yang ditanam daripada rizom lebih cepat berbunga berbanding pokok daripada biji benih yang boleh mengambil masa hingga dua tahun.

“Dalam serumpun ada 10 hingga 15 batang pokok, dan sebatang pokok kantan matang boleh menghasilkan satu hingga dua batang bunga pada satu-satu masa.  Bunga kantan akan membesar dan berubah warna dalam tempoh empat hingga tujuh hari dan boleh dipetik sebelum ia kembang. Secara purata, bunga kantan boleh dipetik pada setiap empat hingga lima hari,” jelasnya.

Mungkin ramai yang tidak tahu, kegunaan pokok kantan tidak terhad kepada masakan semata-mata. Sebaliknya kata Saqdam Zaim, tumbuhan herba itu mempunyai banyak manfaat lain.

“Bunga kantan, selain digunakan sebagai bahan asas dalam pelbagai masakan, ia juga boleh dijadikan jus. Ia kurang popular di sini tetapi di Indonesia lain ceritanya. Pokok ini juga boleh dijadikan sabun herba.

“Selain itu, cairan di dalam batang pokok kantan boleh disapu di permukaan kulit untuk meredakan kesam lebam. Ini antara kaedah rawatan tradisional yang diajar orang tua-tua dahulu. Daunnya pula boleh dibuat sebagai pembalut batu tuam yang digunakan oleh wanita berpantang. Disebabkan itu saya melihat industri pokok kantan berpotensi besar untuk dikembangkan,” katanya.

Mengambil kira potensi tumbuhan itu, beliau mengambil inisiatif sendiri menawarkan kursus kepada mereka yang berminat mengusahakan ladang pokok kantan.

“Saya jalankan kursus ini sejak 2019. Antara lain, peserta didedahkan kepada kaedah penanaman serta penjagaan. Mereka juga diberi pendedahan tentang konsep permaculture untuk sistem operasi ladang,” ujarnya, menambah kursus diadakan di Ladang Kantan Bangi miliknya di sini.

Bagaimanapun beliau merancang untuk mengadakan kursus secara dalam talian dalam masa terdekat bagi memenuhi permintaan mereka yang tinggal jauh dari sini.

“Untuk mengusahakan tanaman kantan tidak memerlukan modal besar. Ia juga boleh dibuat secara sambilan,” katanya, menambah beliau amat mengalu-alukan penyertaan golongan muda.

Menurutnya, setakat ini beliau berjaya membantu ramai anak muda dari sekitar Lembah Klang khususnya, berkecimpung dalam penanaman kantan.

“Jika saya yang langsung tiada asas dalam bidang pertanian boleh berjaya, anda juga boleh berjaya, asalkan ada kemahuan,” kata bapa kepada seorang anak perempuan dan dua lelaki, masing-masing berusia  enam, lima dan setahun itu. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan