SIBU, 20 Dis: Seramai 14 penghuni dua buah rumah terpaksa mencari tempat berteduh sementara selepas rumah yang mereka diami di Jalan Chong Sang di sini, terbakar tengah hari tadi.
Dalam kejadian jam 12Â tengah hari itu, kebakaran dipercayai bermula daripada bahagian belakang sebuah rumah teres dua tingkat corner.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu, Penolong Kanan Penguasa Bomba, (PKPgB) Suna Kaha ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.05 tengah hari.
Katanya,seramai 11 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu Sentral telah bergegas ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi, didapati kebakaran melibatkan dua buah rumah teres dua tingkat bersebelahan sedang marak terbakar,” katanya.
Pasukan Bomba kemudian bertindak memadamkan api dengan menggunakan dua aliran 200 kaki, dua nozel dan satu pam angkut untuk mendapatkan sumber air terbuka dari parit.
Menurutnya, kebakaran tersebut telah mengakibatkan rumah pertama terbakar 60 peratus manakala rumah sebelah yang disewa empat orang turut terbakar 20 peratus.
“Kesemua penghuni dua buah rumah terbabit telah berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.17 tengah hari,” katanya dan menambah operasi pemadaman tamat pada jam 1.28 tengah hari.
Punca kejadian masih dalam siasatan lanjut Unit Penyiasatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu.
Kebakaran tersebut telah menjejas 10 orang penghuni di rumah pertama termasuk dua orang warga emas, tujuh orang dewasa dan seorang kanak-kanak manakala rumah kedua melibatkan empat penghuni dewasa.
Agensi lain yang turut terlibat dalam operasi tersebut termasuk empat anggota polis, lima anggota Angkatan pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dua petugas Sesco. -TVS