KUCHING, 20 Dis: Menjelang hari Krismas tidak lama lagi, orang ramai kini mula mendapatkan barangan keperluan untuk meraikan perayaan itu.
Tinjauan TVS di sekitar bandaraya Kuching mendapati orang ramai mulai sibuk menyediakan keperluan bagi menyambut perayaan Krismas.
Bagi Kevine Justin, salah seorang peniaga yang ditemui bekalan barangan kering seperti sayur untuk hari Krismas adalah mencukupi.
“Persiapan untuk Krismas semestinya sudah bersedia semuanya. Daun ubi dan umbut tepus sememangnya diperlukan untuk mereka yang menyambut hari Krismas termasuklah barang basah seperti ayam dan daging. Saya rasa ia mencukupi untuk semua orang, dari segi harga bagi sayuran tetap sama, ada yang RM1, ada yang RM2,” katanya.
Sementara itu, bagi Chiu Siew Hua, 55, sambutan dari orang ramai pada tahun ini agak suram dari tahun sebelumnya dengan harga barangan yang semakin meningkat naik.
“Sekarang barang semakin mahal berbanding dahulu. Orang yang pendapatannya sedikit akan mengalami sedikit kesusahan membeli barangan yang mahal. Cili, limau dan timun memang semua orang perlu ada di rumah masing-masing. Kalau dulu harga RM2, sekarang sudah menjadi RM4. Tanaman pun berkurangan kerana kurang yang menanam. Saya rasa sekarang tidak seperti dulu kerana dulu sebelum dua tiga hari Krismas sudah ramai orang datang membeli,” katanya.
Bagaimanapun lain pula sambutan jualan kek lapis, Siti Nurkhairunisa berkata, sambutan kek lapis amat menggalakkan untuk perayaan hari Krismas.
“Sambutan Krismas tahun ini boleh tahan kerana ramai pelanggan datang membeli. Jadi, kami perlu membuat kek setiap hari untuk menambah stok kek. Permintaan bagi perayaan kali ini lebih banyak kepada ‘walk in’ berbanding tempahan secara atas talian. Pelanggan terus datang ke kedai untuk membeli. Harganya masih sama iaitu kek lapis biasa RM12 dan kek lapis premium RM30. Kek yang laris dijual adalah kek lapis masam manis, sisik ikan, hati parek dan kek buah,” katanya. – TVS